Ahmad Maslan.

BUTTERWORTH – Kementerian Kerja Raya (KKR) menggunakan peruntukan RM2 bilion yang diterima bagi kerja penyelenggaraan jalan dengan mengutamakan lokasi black spot atau kawasan yang kerap berlaku kemalangan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerja penyelenggaraan di lokasi berkenaan termasuk pengurapan semula, penyelenggaraan perabot jalan dan pencahayaan.

Jelas beliau, KKR sebenarnya memerlukan kira-kira RM4 bilion bagi kerja penyelenggaraan jalan, namun peruntukan yang diterima adalah RM2 bilion.

“Kita mengutamakan tempat-tempat yang black spot, tempat-tempat yang selalu berlaku kemalangan, untuk kita selenggara dengan baik, sama ada dari segi penyelenggaraan pengurapan semula atau penyelenggaraan perabot jalannya, penyelenggaraan pencahayaannya.

“Kita perlu RM4 bilion, tapi dapat cuma RM2 bilion. Kita belanja semua peruntukan untuk kerja penyelenggaraan, tak boleh simpan.

“Malah, petang ini saya bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan pegawai kanan kementerian dijadual bertemu Menteri Kewangan II petang ini bagi memohon tambahan peruntukan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Ahmad merasmikan Nexgen Builders Contractor 2026 Convention: Building a New Generation dan melancarkan Facility Management Good Practice Guide di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena di sini.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, keadaan jalan menyumbang kira-kira 13 peratus daripada punca kemalangan, berbanding 81 peratus akibat kecuaian manusia dan tujuh peratus disebabkan keadaan kenderaan.

Katanya, penyelenggaraan jalan tetap penting kerana jalan yang tidak diselenggara dengan baik boleh menyebabkan jangka hayatnya menjadi lebih pendek.

“Penyenggaraan jalan ini 13 peratus sahaja. Keadaan jalan itu mungkin jalannya berbelok-belok untuk diuruskan, jalannya gelap untuk dicahayakan.

“Jadi kebanyakannya masih lagi merujuk kepada kecuaian manusia,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, KKR turut menerima 3,000 lampu baharu tahun ini melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk pencahayaan di lebuh raya.

“Kita tak dapat nak cahayakan seluruh lebuh raya, tetapi terima kasihlah kepada tahun ini kita dapat 3,000 lampu baru untuk lebuh raya.

“Keperluan memang lebih daripada itu, tapi itu sahaja yang kita perolehi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here