JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas eksekutif pemasaran daripada tuduhan mengedar 707.8 gram methamphetamine, pada tahun 2021.
Keputusan berkenaan diputuskan Pesuruhjaya Kehakimanan, Datuk Abdul Fareed Abdul Ghafoor selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Sehubungan itu, tertuduh, Ch’ng Chee Wen yang berusia 31 tahun didapati tidak bersalah.
Dalam penghakimannya, Abdul Fareed berkata, keterangan tertuduh bahawa beg sandang yang mengandungi dadah itu tidak pernah berada dalam milikannya gagal dicabar.
“Semasa kes pembelaan, tiga saksi telah dipanggil dan dapatan mahkamah beg sandang itu digantung di sinki air semasa tertuduh ditahan.
“Seorang saksi bebas iaitu pekerja hotel menyatakan tertuduh tidak membawa beg sandang ketika dia turun dari hotel pada pukul 10.30 malam, sebaliknya sehelai sepinggang sahaja.
“Terdapat pula keraguan terhadap keterangan saksi pendakwaan ketiga yang menyatakan beliau nampak tertuduh membawa beg sandang ketika membuat pemerhatian dari stesen minyak berhadapan hotel.
“Namun, keterangannya bertentangan dengan keterangan saksi pembelaan yang menyatakan saksi pendakwaan itu membuat pemerhatian di sebuah restoran dan bergerak-gerak sepanjang pemerhatian,” katanya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu yang sebelum ini bekerja di Singapura didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat bersih 707.8 gram di persisiran pantai di belakang sebuah hotel di Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi, pukul 12.50 tengah malam, pada 23 Disember 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zuhainie Zull Kafli dan Nur Diana Zubir dengan mengemukakan empat saksi sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula 24 Mac 2025.
Sementara itu, ketika prosiding bela diri bermula 9 Jun lalu, seramai tiga saksi pembelaan dikemukakan termasuk tertuduh yang diwakili peguam Mohd Daud Ismail, Muhamad Abd Kadir dan Hang Lee Ying. – MalaysiaGazette
















