Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sufian Jusoh (dua dari kiri) ketika program Jejak Kasih Tekad Siswa di kediaman Nur Natasha Amirah Mohd Helmi di Kota, Negeri Sembilan.

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar baharu melalui program Jejak Kasih Tekad Siswa sebagai persediaan mereka memulakan pengajian di universiti.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, program itu dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara tersusun dan bersasar kepada pelajar yang memerlukan.

Beliau berkata, menerusi program itu, pihak universiti turun padang bertemu pelajar dan keluarga mereka, selain menyampaikan surat tawaran kemasukan serta bantuan keperluan bagi persediaan memasuki universiti.

“UKM menyediakan beberapa bentuk bantuan termasuk barangan keperluan dan kelengkapan bagi membantu persediaan pelajar memasuki universiti.

“Kunjungan ini memberi peluang kepada kita untuk melihat sendiri keadaan pelajar dan keluarga mereka, di samping mengeratkan silaturahim antara UKM dengan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berpesan kepada pelajar baharu agar menggunakan peluang melanjutkan pengajian di UKM untuk mencapai kecemerlangan serta tidak membiarkan kekangan yang dihadapi menjadi penghalang kepada pendidikan mereka.

“Gunakan peluang yang diberikan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan demi diri sendiri, keluarga dan universiti.

“Walaupun berdepan dengan kekangan atau kesusahan, jangan jadikan keadaan itu sebagai penghalang untuk melanjutkan pengajian.

“Datanglah ke UKM dan hubungi kami sekiranya memerlukan bantuan, termasuk sebelum mendaftar. Kita akan cuba membantu sedaya upaya,” katanya.

UKM membuat kunjungan ke kediaman Muhammad Irfan Yusain (duduk, kanan) dan keluarga bagi menyampaikan surat tawaran dan barangan keperluan mendaftar.

Antara pelajar yang menerima kunjungan menerusi program itu ialah Muhammad Irfan Yusain yang bakal mengikuti program Sarjana Muda Sains dalam Statistik dengan Kepujian di Pusat Pengajian Sains Matematik, Fakulti Sains dan Teknologi.

Muhammad Irfan sebelum ini pernah tular di media sosial kerana sering menghantar makanan ke UKM menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Katanya, peluang melanjutkan pengajian di UKM amat bermakna kerana universiti itu sudah dikenali sejak kecil dan menjadi pilihannya untuk menyambung pengajian.

“UKM sebenarnya merupakan universiti pertama yang saya kenali sejak kecil. Saya dilahirkan di Hospital UKM (HUKM) dan apabila melihat nama HUKM pada dokumen kelahiran, saya mula tertanya-tanya tentang UKM.

“Sejak itu, UKM menjadi universiti yang cukup dekat dengan diri saya dan dari kecil lagi saya sudah bertekad untuk belajar di sini.

“Apabila memasuki UKM nanti, saya berharap dapat menjadi pelajar yang cemerlang dan memberikan contoh serta inspirasi kepada pelajar lain.

“Saya mahu menunjukkan bahawa setiap orang mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran dan mencapai kejayaan sekiranya terus berusaha,” katanya.

Seorang lagi pelajar yang menerima kunjungan menerusi program Jejak Kasih Tekad Siswa ialah Nur Natasha Amirah Mohd Helmi yang bakal mengikuti program Sarjana Muda Sains Sosial dalam Kriminologi dengan Kepujian di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Nur Natasha yang telah kehilangan bapanya berkata, dia memilih UKM selepas melihat sendiri pengalaman abang dan adiknya yang turut menuntut di universiti itu, khususnya dalam aspek kebajikan dan pembangunan pelajar.

“Saya memilih UKM kerana saya mempunyai abang dan adik yang belajar di sini. Jadi, saya tahu bagaimana UKM menjaga kebajikan pelajarnya,” katanya.

Anak ketujuh dari sembilan orang adik-beradik itu bercita-cita untuk menceburi bidang kepolisan berkata pemilihan program Kriminologi.

“Saya juga mahu menyertai Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) UKM. Selepas tamat pengajian nanti, saya berharap dapat meneruskan cita-cita dalam bidang kepolisan.

“Terima kasih atas segala bantuan dan peluang yang diberikan kepada saya untuk belajar di UKM.

“Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik dan berusaha mendapatkan keputusan yang cemerlang,” katanya.

Pelajar baharu akan mula mendaftar di UKM pada 19 September ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here