PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengambil tindakan segera untuk memperkemas kawal selia platform e-dagang di negara ini susulan peningkatan aduan orang awam berhubung penjualan produk elektrik, elektronik serta isu status halal.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas kerajaan menerima aduan daripada orang awam, termasuk pengusaha platform e-dagang dan peniaga yang mempunyai premis fizikal.
Menurutnya, terdapat kebimbangan terhadap beberapa platform e-dagang yang didakwa masih belum dikawal selia dengan sewajarnya, khususnya berkaitan produk yang dijual kepada pengguna.
“Jemaah Menteri telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi untuk meneliti tindakan segera bagi melaksanakan proses kawal selia.
“Antara tindakan tersebut termasuk pendaftaran bagi platform-platform e-dagang,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Fahmi berkata, terdapat platform e-dagang yang sudah mematuhi keperluan dengan mempunyai syarikat berdaftar serta berpengkalan di Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, terdapat juga platform yang tidak mempunyai syarikat berdaftar atau alamat operasi di negara ini.
“Beberapa tindakan ini akan diambil oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat menutup operasi platform e-dagang terbabit, sebaliknya mahu memastikan mereka mematuhi peraturan serta piawaian yang ditetapkan bagi melindungi pengguna.
Jelasnya, produk elektrik dan elektronik dijual perlu mematuhi piawaian ditetapkan termasuk keperluan berkaitan SIRIM, manakala produk menggunakan dakwaan halal pula perlu memenuhi piawaian halal yang diguna pakai di Malaysia.
“Kita tidak berhasrat untuk menutup, tetapi kita mahu, contohnya bagi produk elektrik dan elektronik, ia harus menepati piawaian SIRIM.
“Bagi produk-produk yang mempunyai status halal, maka ia mesti mematuhi piawaian halal yang kita guna pakai dalam negara,” katanya.
Fahmi berkata, kerajaan juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pengendali platform e-dagang bagi membincangkan keperluan kawal selia tersebut.
“Pengalaman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam melaksanakan kerangka pelesenan terhadap platform media sosial sebelum ini boleh dijadikan asas dalam perbincangan dengan platform e-dagang.
“Jadi mungkin perbincangan yang hampir serupa boleh diadakan dengan pihak platform-platform e-dagang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















