Pemandangan bangunan pencakar langit di ibu kota diliputi jerebu ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Kes jangkitan saluran pernafasan akut (URTI) dan asma meningkat susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, kes URTI meningkat sebanyak 2,037 kes atau 124.4 peratus daripada 1,637 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 32 kepada 3,674 kes pada ME 33.

Menurutnya, kes asma turut meningkat sebanyak 158 kes atau 259 peratus, daripada 61 kes kepada 219 kes dalam tempoh sama.

Bagaimanapun, KKM berkata, kes konjunktivitis menurun daripada 157 kes pada ME 32 kepada 146 kes pada ME 33.

“Pemantauan penyakit berkaitan jerebu dilaksanakan setiap hari melalui 58 klinik kesihatan dan 18 Jabatan Pesakit Luar hospital di seluruh negara.

“Pemantauan ini membolehkan KKM mengesan trend penyakit berkaitan jerebu secara berterusan, selain memastikan tindakan kesihatan awam dapat dilaksanakan dengan segera sekiranya berlaku peningkatan kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) hari ini, sebanyak 17 stesen merekodkan bacaan IPU antara 101 hingga 200, iaitu pada tahap tidak sihat.

Daripada jumlah itu, 14 stesen berada di Semenanjung, manakala tiga lagi di Sarawak.

Kawasan terjejas di Semenanjung membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka, Putrajaya, Johor dan Perak, manakala di Sarawak membabitkan Sri Aman, Serian dan Samarahan.

“Secara keseluruhan, 49 stesen berada pada tahap sederhana dan dua stesen pada tahap baik. Tiada stesen mencatatkan kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya,” katanya.

Dalam pada itu, KKM berkata, jumlah stesen berstatus tidak sihat menunjukkan penurunan ketara daripada 31 stesen pada 25 Ogos kepada 17 stesen hari ini.

Menurutnya, banyak kawasan di Perak, Pulau Pinang dan Kedah turut pulih ke tahap sederhana.

“Bagaimanapun, keadaan jerebu di beberapa kawasan termasuk Sarawak masih berterusan dan situasi di kawasan lain berubah mengikut keadaan semasa.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai bacaan IPU dan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar,” katanya.

KKM berkata, pihaknya terus memperkukuh kesiapsiagaan dan respons kesihatan melalui pengukuhan survelan penyakit, perkhidmatan perubatan serta bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan di hospital dan klinik kesihatan.

“KKM juga memastikan fasiliti kesihatan berada pada tahap kesiapsiagaan optimum bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes berkaitan jerebu,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat dinasihatkan mengelakkan aktiviti luar, terutama kanak-kanak serta individu yang menghidap penyakit respiratori kronik dan penyakit jantung.

“Golongan berisiko tinggi hendaklah mengurangkan aktiviti di luar bangunan dan berada di dalam bangunan sekiranya bacaan IPU menunjukkan tahap tidak sihat,” katanya.

KKM turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana tindakan itu boleh memburukkan lagi keadaan jerebu dan menjejaskan kesihatan penduduk.

“Orang ramai diminta mengelakkan pembakaran terbuka dan melaporkan sebarang aktiviti berkenaan kepada pihak berkuasa bagi membantu mengurangkan pencemaran udara,” katanya. – MalaysiaGazeztte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here