PENGERANG – Sebanyak 34.8 hektar kawasan paya gambut yang terbakar di Jalan Bypass Sebana Cove-Punggai di sini sudah berjaya dipadamkan setakat ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, jumlah tersebut melibatkan 67.7 peratus daripada keseluruhan 51.4 hektar kawasan paya gambut yang terbakar.
JBPM Johor memberitahu, keluasan keseluruhan kawasan yang terbakar membabitkan dua sektor iaitu Sektor A seluas 35.6 hektar dan Sektor B seluas 15.8 hektar.
“Setakat ini sebanyak 19 hektar atau 53.4 peratus dari 35.6 hektar yang terbakar di Sektor A sudah berjaya dipadamkan.

“Sementara itu, 15.8 hektar atau 100 peratus yang terbakar sudah berjaya dipadamkan,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
JBPM Johor memaklumkan, kerja-kerja pemadaman membabitkan empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Sebana, Punggai, Penawar, Sungai Rengit dan yang diketuai dua pegawai serta disertai 36 anggota.
Turut membantu ialah anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan kakitangan Ranhill SAJ dengan bantuan jentera Fire Rescue Tender (FRT), 12 unit lori tangki dan tiga unit utiliti.
“Operasi masih diteruskan dan anggota berdepan beberapa cabaran termasuk tiupan angin yang agak kuat, laluan masuk yang sukar serta sumber air yang terhad,” jelas jabatan berkenaan.

Jelas jabatan berkenaan, keadaan cuaca panas dan kering turut menjadi cabaran kepada operasi pemadaman kebakaran berkenaan.
“Operasi pemadaman masih diteruskan sehingga keseluruhan kawasan terjejas berjaya dikawal,” ujar kenyataan itu lagi.
Kelmarin, portal ini melaporkan kebakaran paya gambut di kawasan berkenaan sejak Isnin lalu tetapi tidak melibatkan sebarang pemindahan penduduk, kecederaan atau sebarang kemalangan jiwa.
Kebakaran itu dipercayai mudah merebak berikutan keadaan cuaca panas dan berangin selain kawasan terbabit merupakan tanah gambut yang mudah menyimpan bara api dan terbakar semula. – Malaysiagazette
















