BUTTERWORTH – Seorang operator kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang pelajar politeknik.
Tertuduh, Muhammad Hazarul Zaim Rusli, 22, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang wanita berusia 20 tahun di bilik B3, hotel Golden Oriental, Jalan Kampung Benggali di sini, kira-kira jam 3.30 pagi pada 17 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur mangsa tanpa kerelaannya di lokasi, tarikh dan waktu sama.
Pendakwaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izad Firdaus manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.
Dalam mitigasi rayuan, Rayer memohon mahkamah memberikan jaminan atas budi bicara dengan jumlah yang munasabah.
Katanya, anak guamnya berusia 22 tahun, baru bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan RM1,800 sebulan selain menjaga ibu dan bapanya yang turut hadir di mahkamah hari ini.
Jelas beliau, mangsa merupakan teman wanita kepada tertuduh selain mendakwa kejadian tersebut berlaku dengan kerelaan pengadu.
“Yang Arif kejadian bukan berlaku di belukar atau ketika pengadu sedang berjoging sebaliknya ada tempahan mereka ke hotel yang mana akan saya perincikan ketika perbicaraan nanti.
“Tertuduh juga telah direman selama tujuh hari dan bersedia mematuhi syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis dua kali sebulan.
“Berhubung dakwaan risiko mangsa diganggu, ia hanya persepsi kerana kami bersetuju jaminan anak guam saya dibatalkan sekiranya dia mengganggu mangsa, malah dia juga tidak berisiko melarikan diri kerana bermastautin di Pulau Pinang,” katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Izad membantah permohonan jaminan terhadap tertuduh atas alasan ia merupakan kesalahan yang serius.
“Pengadu kini berada dalam keadaan trauma dan pembebasan tertuduh dikhuatiri boleh mengganggu emosi serta menimbulkan rasa terancam terhadap mangsa meskipun mereka bukan tinggal bersama.
“Namun, jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan memohon jumlah jaminan yang tinggi ditetapkan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan perlu lapor diri di balai polis terdekat setiap dua minggu dan dilarang mengganggu mangsa.
Kes akan disebut semula pada 29 September ini bagi serahan dokumen.
MalaysiaGazette difahamkan, mangsa yang merupakan pelajar politeknik itu berkenalan dengan tertuduh menerusi sebuah aplikasi perkenalan sebelum keluar bersama lelaki berkenaan pada keesokan harinya. – MalaysiaGazette
















