Garisan kuning polis
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang Pegawai Trafik Udara di Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Tawau maut selepas motosikal Yamaha RXZ ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah Toyota Camry di Batu 3, Jalan Apas, Tawau semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, ketika kejadian pada jam 6 petang itu, Toyota Camry dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun dari arah Kampung Titingan menuju ke Batu Payung, manakala mangsa menunggang Yamaha RXZ dari arah Bandar Tawau menuju ke Taman Millenium.

Jelasnya, pemeriksaan awal mendapati lorong sebelah kanan jalan baru diturap dan mempunyai aras lebih tinggi berbanding lorong sebelah kiri yang masih belum diturap.

Katanya, keadaan itu dipercayai menyebabkan mangsa hilang keseimbangan sebelum terjatuh di hadapan Toyota Camry.

“Ketika Toyota Camry berada di kawasan lampu isyarat Batu 3 dan lampu bertukar daripada merah kepada hijau, pemandu meneruskan perjalanan secara perlahan.

“Pada masa sama, motosikal mangsa berada di sebelah Toyota Camry sebelum dipercayai hilang keseimbangan akibat keadaan permukaan jalan yang tidak sama aras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa berusia 55 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Ambulans Hospital Tawau.

Sementara itu, Rosdi berkata, pemandu Toyota Camry tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau, manakala bedah siasat dilakukan pada jam 9 pagi hari ini di Jabatan Forensik Hospital Tawau,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here