Dr. Mas Fawzi Mohd Ali menerima anugerah daripada Dr. Kamaruzaman Md. Ali.

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara apabila dinobatkan sebagai penerima Malaysia’s TVET University of the Year Award 2026 sempena majlis Malaysia Education & TVET Awards (META) 2026 hari ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, Profesor Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali kepada Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali sebagai wakil universiti.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan kecemerlangan UTHM dalam memperkasa pendidikan TVET termaju, khususnya dalam melahirkan graduan berkemahiran, berdaya saing dan berupaya memenuhi keperluan industri serta mendepani perkembangan teknologi semasa di peringkat nasional dan global.

Dr. Mas Fawzi berkata, kejayaan itu merupakan hasil pelaksanaan agenda strategik universiti yang selari dengan aspirasi Global Technopreneur University 2030 (GTU2030).

Menurut beliau, pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin kepada warga UTHM untuk terus memperkukuh agenda TVET termaju, bukan sahaja dalam melahirkan teknokrat berpengetahuan dan berkemahiran, malah membentuk graduan yang mempunyai jiwa teknopreneur, inovatif, berdaya tahan serta mampu mencipta nilai dan peluang dalam landskap industri yang semakin dinamik.

“Anugerah ini membuktikan bahawa agenda pemerkasaan TVET tinggi yang dilaksanakan UTHM berada pada landasan yang tepat.

“Ia juga menjadi cetusan semangat untuk kami terus melahirkan modal insan yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri, tetapi mampu menerajui perubahan dan inovasi teknologi di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti) UTHM, Profesor Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor berkata, kejayaan berkenaan turut didorong oleh perancangan strategik yang tersusun, pemantauan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) secara berterusan serta pemerkasaan budaya kualiti di seluruh fakulti dan pusat kecemerlangan universiti.

Katanya, UTHM akan terus memastikan program akademik dan kurikulum TVET sentiasa relevan, berkualiti dan memenuhi keperluan industri, di samping menepati piawaian pendidikan tinggi yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Pengiktirafan ini bukan titik noktah, sebaliknya menjadi pemangkin untuk UTHM melonjakkan lagi kecemerlangan institusi dan memperkukuh kedudukan sebagai universiti TVET berorientasikan teknologi serta keusahawanan menjelang 2030,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh peranan sebagai pemaju TVET negara, UTHM turut melaksanakan pelbagai inisiatif strategik termasuk memperkasakan konsep ‘Teaching Factory’ bagi meningkatkan kesiapsiagaan kerjaya mahasiswa melalui pendedahan kepada persekitaran industri sebenar.

Universiti juga memperluas laluan pembelajaran sepanjang hayat menerusi pengiktirafan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) dan Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (APEL.Q).

Selain itu, UTHM turut memperkukuh elemen keusahawanan berasaskan teknologi tinggi dalam pendidikan bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia memasuki pasaran pekerjaan, malah berupaya mencipta peluang pekerjaan.

Pada masa sama, jaringan kerjasama strategik bersama industri turut terus diperkasa bagi memastikan kandungan kurikulum sentiasa seiring dengan perkembangan Industri 4.0, teknologi baharu dan agenda ekonomi hijau.

Kejayaan menerima Malaysia’s TVET University of the Year Award 2026 sekali gus memperkukuh komitmen UTHM untuk terus menjadi institusi rujukan dalam pendidikan TVET, inovasi dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi, selaras dengan aspirasi universiti untuk merealisasikan visi sebagai Global Technopreneur University menjelang 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here