Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada media selepas merasmikan Program Madani Kita Bersama Komuniti Ampang di Dewan MPAJ, Ampang Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 29 OGOS 2026.

AMPANG JAYA – Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Pengarah Pilihan Raya PH itu berkata, keterbukaan berkenaan dibuat atas pertimbangan untuk memastikan kestabilan politik dan kemakmuran negara terus dipertahankan, selain mengelakkan berulangnya episod perpecahan politik.

Menurutnya, PH tidak menetapkan sebarang kerjasama pada masa depan hanya perlu melibatkan UMNO, sebaliknya bersedia berbincang dengan pelbagai pihak sekiranya terdapat kesediaan untuk membentuk kerjasama yang kukuh.

“Bila UMNO cakap boleh nak kerjasama, okaylah. Tak apa, kita bincanglah, tengoklah.

“Kita kena menetapkan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak.

“Kalau UMNO kita boleh terima, takkanlah kita tak boleh terima Bersatu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program MADANI Bersama Komuniti Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, landskap politik Malaysia sebelum ini menunjukkan parti-parti politik pernah bekerjasama dan kemudiannya berpisah sebelum membentuk pakatan baharu.

“PH pun pernah bekerjasama dengan Bersatu. PH pernah cerai Bersatu. PH pernah cerai UMNO. PH nak kahwin dengan UMNO. Jadi macam itulah,” katanya secara berseloroh.

Menurutnya, perubahan bentuk kerjasama politik tidak semestinya perlu dilihat sebagai ketidaktentuan politik, sebaliknya boleh menjadi tanda kematangan politik baharu.

“Kalau orang nilai itu sebagai ketidaktentuan politik, ya ketidaktentuanlah. Tetapi kalau orang nampak ia sebagai cara kematangan politik baharu, ia mungkin akan mengubah landskap politik Malaysia,” katanya.

Amirudin bagaimanapun menegaskan, sebarang kerjasama perlu mengambil kira komitmen semua pihak untuk mempertahankan kestabilan dan kemakmuran yang dibina menerusi Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan Perpaduan wujud dengan kesedaran pimpinan-pimpinan utama setelah melihat negara kucar-kacir selepas banyak sangat perpecahan yang telah timbul.

“Kita tak nak ulangi dan kita kena tubuhkan kerajaan yang stabil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here