KUALA LUMPUR – Dua rentung manakala seorang lagi masih hilang dalam kebakaran membabitkan kira-kira 200 rumah atas air di tiga kampung di Kampung Numbak, Kota Kinabalu, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu membabitkan Kampung Lok Buta; Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.40 pagi.
Menurutnya, seramai 41 anggota dari empat balai bomba dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Pasukan terbabit dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran.
“Kebakaran melibatkan kawasan rumah setinggan atas air jenis tidak kekal yang merangkumi tiga buah kampung iaitu Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama.
“Anggaran awal kebakaran melibatkan kira-kira 200 rumah,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dengan sumber air daripada jentera bomba dan sumber air terbuka iaitu laut.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
“Operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul masih dijalankan,” katanya.
Mohd Pisar berkata, hasil pemeriksaan mendapati, tiga orang dilaporkan dikhuatiri hilang dalam kejadian itu.
“Jumlah sebenar rumah yang terlibat serta status mangsa masih dalam proses pengesahan.
“Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















