KUALA LUMPUR – Dua gudang penyimpanan bahan kimia pertanian jenis racun kulat dan racun perosak musnah dalam kebakaran di Jalan Raja Arfah, Segambut, awal pagi tadi.
Bomba Kuala Lumpur menerusi hantaran di Facebook berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 3.58 pagi.
Menurutnya, kebakaran membabitkan dua unit gudang di Lot-5492, Jalan Raja Arfah.
“Gudang pertama berkeluasan kira-kira 100 x 80 kaki persegi mengalami kemusnahan 90 peratus, manakala gudang kedua berkeluasan 80 x 80 kaki persegi musnah kira-kira 30 peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.19 pagi dan kerja-kerja overhaul sedang dijalankan,” katanya.
Menurutnya, seramai 38 anggota bomba terbabit dalam operasi itu dengan kekuatan lima jentera FRT, dua tanker, sebuah Aerial Ladder Platform (ALP), sebuah jentera Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Katanya, operasi diketuai PBK I Mohd Nasir Ahmad Malik selaku Komander Operasi, manakala PgKB II Fathi Kameel Mohd Azri bertindak sebagai Komander Operasi Kanan dan PgKB I Ahmad Mukhlis Mukhtar sebagai Pegawai Kanan.
Menurutnya, operasi turut mendapat bantuan daripada BBP Jinjang, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Sri Hartamas.
“Seorang anggota BBP Jalan Tun Razak dilaporkan menjadi mangsa dalam kejadian ini,” katanya.
Bagaimanapun, bomba Kuala Lumpur tidak memaklumkan jenis kecederaan yang dialami mangsa. – MalaysiaGazette
















