KOTA TINGGI – Masalah rumah untuk generasi kelima Felda Sungai Sayong di sini perlu ditangani bagi memastikan mereka mempunyai penempatan sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Seri Dr Adham Baba melihat perkara berkenaan kini merupakan satu keperluan mendesak bagi memastikannya mendapat penempatan yang lebih selesa.
“Felda Sungai Sayong secara rasminya mula didiami sehingga generasi kelima. Ini membuktikan jurang usia yang unik di tanah rancangan ini yang penduduknya terdiri daripada warga emas dengan paling tua berumur 103 hinggalah kepada golongan cicit dan piut.
“Pertambahan generasi baharu ini menuntut perancangan penempatan yang lebih tersusun dan diselaras daripada sekarang tanpa perlu menunggu kawasan berkenaan semakin sesak,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Lima Orang Tokoh Peneroka dan Penerokawati di Felda Sungai Sayong di sini, semalam.
Katanya, menerusi majlis tersebut penduduk setempat dapat meraikan generasi pertama hingga generasi kelima.
“Ada satu keluarga itu sudah generasi kelima, generasi keempat dah mula ramai dan generasi ketiga lebih ramai.
“Generasi kedua dah dapat tanah, ada yang dapat buat rumah sendiri di tapak ibu bapa. Namun nasib generasi ketiga, keempat dan kelima ini kita kena tengok juga,” ujarnya.
Katanya, isu paling besar dan perlu dibawa ialah bagaimana penempatan bagi generasi-generasi berkenaan boleh diselaras bermula sekarang.
“Jangan tunggu dah ada generasi kelima baru nak fikir, kita kena fikir dari sekarang supaya Felda maju dengan masyarakat yang maju,” katanya.
Dr Adham berkata, isu kediaman dan hala tuju generasi baharu itu akan dibawa beliau ke peringkat negeri, selain menggesa pihak pengurusan Felda untuk mengangkatnya ke peringkat kebangsaan.
Jelasnya, kemajuan kawasan Felda perlu berjalan seiring dengan pembangunan modal insan merangkumi aspek pendidikan, kerohanian, sosial serta ekonomi bagi memastikan generasi kelima tidak terpaksa berhijrah keluar akibat kekurangan tempat tinggal.
Tambahnya, bagi menyokong pembangunan ekonomi setempat, beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan kawasan tanah di Felda itu bagi membangunkan industri pemprosesan kimia hijau berasaskan kelapa sawit.
“Felda tidak boleh lagi kekal dengan hanya menghasilkan buah sawit. Mana-mana pelaburan berinisiatifkan kimia hijau, saya mencadangkan supaya Felda Sungai Sayong peruntukkan tanah untuk pembangunan industri tersebut supaya ada peluang pekerjaan dan gaji berpatutan untuk generasi baharu kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















