KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengecam sekeras-kerasnya tindakan merosakkan dan membakar sebuah masjid di Golbazar, Siraha, Nepal, yang turut menyebabkan naskhah al-Quran dan bahan hadis musnah.

Yang Dipertua Yadim, Datuk Dr Hasan Bahrom, berkata perbuatan mencemarkan rumah ibadat dan memusnahkan kitab suci bercanggah dengan nilai kemanusiaan, keamanan serta keharmonian dalam masyarakat bertamadun.

Tegasnya, kebebasan beragama tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina, mencemarkan atau merosakkan agama dan rumah ibadat mana-mana pihak.

“Sebarang perbezaan dan ketegangan antara komuniti hendaklah diselesaikan melalui dialog dan saluran undang-undang, bukan melalui provokasi, keganasan atau tindakan membalas dendam atas nama agama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hasan berkata, Islam sendiri mengajar umatnya supaya menghormati rumah ibadat serta berlaku adil terhadap mereka yang berbeza agama.

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa Nepal menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terbukti terbabit.

Dalam perkembangan sama, Yadim turut menyeru masyarakat supaya tidak menjadikan musibah banjir yang melanda Nepal sebagai ruang untuk mencela atau meraikan penderitaan mangsa.

Sebaliknya, Hasan berkata, nilai rahmah, ihsan dan kemanusiaan perlu diterjemahkan menerusi doa serta bantuan kepada mangsa yang memerlukan tanpa mengira agama dan latar belakang.

“Yadim mendoakan agar keamanan kembali pulih di Nepal dan semua mangsa serta masyarakat yang terkesan diberikan perlindungan, kekuatan dan pertolongan,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here