KUALA LUMPUR – Dakwaan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng hanya kira-kira 30 anggota Pemuda keluar parti untuk menyertai Wawasan disifatkan tidak masuk akal oleh mantan Ketua Pemuda PBM, Hanis Asmui.
Hanis berkata, kenyataan Larry yang menyanggah dakwaan lebih 2,000 anggota Pemuda PBM keluar parti itu dilihat sebagai cubaan menutup kelemahan sendiri.
“Saya ingin respons berkenaan kenyataan Datuk Larry Sng bahawa hanya 30 orang sahaja pemuda yang keluar parti. Kenyataan tersebut adalah dangkal dan saya lihat ia hanyalah sekadar ingin menutup kelemahan sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Hanis, kenyataan Larry itu perlu dilihat berdasarkan jumlah keahlian PBM yang pernah diumumkan sendiri oleh presiden parti berkenaan.
“Jika kita lihat pada Disember 2024 sewaktu pelancaran logo PBM di Sibu, Sarawak, Larry pernah mengeluarkan kenyataan bahawa ahli PBM pada waktu itu ialah 100,000 ahli di seluruh negara.
“Jadi sifir matematik dia mudah. Jika pembubaran ini melibatkan sayap Pemuda pusat, negeri dan juga bahagian-bahagian, angka 2,000 itu munasabah, malah lebih daripada itu.
“Saya belajar sifir matematik daripada Larry,” ujarnya.
Larry sebelum ini menyangkal dakwaan lebih 2,000 ahli Pemuda PBM keluar parti untuk menyertai Wawasan, malah menyifatkan angka berkenaan sebagai tidak benar.
“2,000 pemuda keluar PBM? Lebih dekat 30 ahli sahaja. Pandai-pandai syok sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kenyataan itu menyusuli pengumuman Hanis mengenai pembubaran serta-merta sayap Pemuda PBM di peringkat pusat, negeri dan bahagian secara sebulat suara serta sukarela.
Hanis yang turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda PBM, Timbalan Pengerusi Johor dan Ketua Bahagian Muar berkata, keputusan itu dibuat susulan rasa kecewa yang semakin memuncak terhadap kepimpinan parti sehingga menghakis keyakinan ahli.
Beliau berkata, situasi berkenaan berpunca daripada beberapa kenyataan pemimpin kanan parti yang disifatkannya sebagai dangkal dan mengelirukan, khususnya berhubung isu agama dan kaum.
Hanis menasihatkan kepimpinan PBM supaya berlapang dada menerima sebarang keputusan dan pandangan daripada ahli di peringkat akar umbi.
“Lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan isu agama dan kaum,” tegas beliau lagi. -MalaysiaGazette
Kenyataan dangkal Ronnie antara punca Pemuda PBM keluar parti
















