Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda Pas Negeri (DPPN) Kedah, Ilyas Ahmad.

KOTA BHARU – Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda Pas Negeri (DPPN) Kedah, Ilyas Ahmad berang dengan Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan sehingga mencabar Pemuda Pas Selangor memastikan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) itu tidak lagi berada di Selangor pada pilihan raya akan datang.

Ilyas yang merupakan pembahas dari Kedah ketika membahaskan Ucaptama Ketua Dewan Pemuda pada Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-67 di sini hari ini berkata, pendirian Sany yang didakwa menyentuh isu Melayu dan Islam tidak boleh diterima.

“Kita tak mahu ada lagi manusia yang bernama Sany Hamzan. Kita nak cabar Dewan Pemuda Pas Selangor pada hari ini, pastikan Sany Hamzan tidak lagi ada di Selangor dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Beliau turut menyelar kenyataan Sany yang didakwa menyebut mengenai Islam dan Melayu dengan nada yang dianggap menghina.

“Dia orang Melayu, tuan-tuan. Dia orang Islam, tapi sanggup dia menyebut Islam Melayu sakau tak habis!,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Dewan Pemuda Pas Selangor mengambil pendirian tegas terhadap Sany serta individu yang disifatkannya sebagai ‘kuncu-kuncu’ pemimpin berkenaan.

“Jangan lupa Dewan Pemuda Pas Selangor, pastikan Sany Hamzan dan kuncu-kuncunya yang lain tidak ada,” tegasnya.

Ilyas turut menyebut nama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dalam seruan tersebut selain mendakwa terdapat pihak yang menjadi ‘mulut penyambung’ dalam membela DAP.

“Mat Sabu sekali, bolehlah. Sekalilah semua. Angkat tangan saja yang menjadi mulut penyambung kepada membela DAP,” katanya.

Kenyataan itu mencetuskan nada keras dalam perbahasan Pemuda Pas Selangor, khususnya berkaitan pendirian politik parti berhubung isu Melayu, Islam serta hubungan dengan parti-parti dalam kerajaan.

Sementara itu Ilyas menegaskan, usaha memperkukuh penyatuan perlu dijayakan sebaik mungkin tanpa menggadaikan prinsip perjuangan yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.

Dalam masa sama, penyatuan berkenaan perlu dibina atas asas perjuangan yang murni serta semangat saling menghormati antara satu sama lain.

“Kita mengharapkan agar penyatuan ini dapat kita jayakan dengan sebaik yang mungkin.

“Tetapi, kita dalam masa yang sama tidak menggadai prinsip kita untuk kita terus menegakkan perjuangan kita berpandukan kepada al-Quran dan juga as-Sunnah,” katanya.

Beliau berkata, piagam berkaitan penyatuan itu perlu disusun dengan sebaik mungkin supaya berpaksikan teras-teras asas yang dipersetujui bersama.

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan penyatuan yang dibentuk bukan sekadar bersifat sementara, sebaliknya mempunyai asas perjuangan yang kukuh.

“Susunlah piagam sebaik yang mungkin berteraskan kepada teras-teras asas, berteraskan kepada perjuangan yang murni, berteraskan kepada saling hormat-menghormati di antara satu sama lain,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here