KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menggesa bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad memberikan penjelasan berhubung pendedahan beliau telah dipanggil melalui proses sepina untuk memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
AMK berkata pendedahan Ahli RCI Tabung Haji, Tan Sri Rashid Hussain itu menimbulkan persoalan terhadap naratif bahawa Madinah sebelum ini kononnya tidak diberikan peluang untuk memberikan keterangan.
“Jika benar beliau telah dipanggil secara rasmi melalui sepina, mengapa fakta penting itu tidak dijelaskan kepada rakyat sejak awal?,” soal AMK dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, AMK meminta Madinah menjelaskan secara terbuka sama ada beliau menerima sepina berkenaan, hadir memberikan keterangan atau mempunyai alasan tertentu sehingga tidak berbuat demikian.
“Rakyat berhak mengetahui keseluruhan fakta, bukan hanya fakta yang sesuai dengan sesuatu naratif,” tegasnya.
AMK turut mengingatkan RCI bukan pentas politik dan kredibilitinya tidak seharusnya dijatuhkan melalui persepsi atau kenyataan yang tidak lengkap.
“Jika ada bukti RCI gagal menjalankan tanggungjawabnya, kemukakan bukti dan rekod, bukannya membina persepsi seolah-olah RCI sengaja mengetepikan pihak tertentu,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, AMK menegaskan Tabung Haji tidak seharusnya dijadikan bahan permainan politik sempit kerana ia membabitkan amanah dan kepentingan jutaan pendeposit.
“Jangan kerana mahu mempertahankan satu naratif, keyakinan rakyat terhadap institusi dan proses mencari kebenaran pula menjadi mangsa,” ujar mereka.
AMK berkata dalam isu sebesar Tabung Haji, kebenaran tidak boleh dipilih mengikut keselesaan politik mana-mana pihak.
“Jika benar berlaku ketidakadilan, buktikan. Jika proses sepina telah dilaksanakan, akui dan jelaskan kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.
AMK menegaskan rakyat tidak mahu naratif separuh benar sebaliknya mahu fakta berhubung proses yang dilalui RCI Tabung Haji.
“Jangan putar belit fakta, jangan perbodohkan rakyat dan jangan korbankan kredibiliti RCI demi agenda politik,” tegas mereka. -MalaysiaGazette
















