KOTA BHARU – Pas perlu menjadi pihak yang memimpin usaha penyatuan dengan mana-mana parti politik, bukannya sekadar menjadi “pak turut”, tegas Perwakilan Pemuda Pas Terengganu, Mukhlis Hasin.
Beliau berkata, usaha penyatuan tidak seharusnya menyebabkan Pas menggadaikan prinsip perjuangan atau takut mempertahankan kebenaran semata-mata untuk memastikan kerjasama politik dapat dipertahankan.
“Biar kita yang memimpin penyatuan ini, jangan kita yang menjadi pak turut dalam penyatuan ini. Jangan sekali-kali kita bacul untuk mempertahankan jati diri kita semata-mata alasan untuk kita mempertahankan penyatuan.
“Jangan sekali-kali pula kita takut nak mempertahankan kebenaran semata-mata untuk kita nak mempertahankan penyatuan,” katanya ketika membahaskan Ucaptama Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia pada Muktamar Pemuda Pas Kali Ke-67, di sini, hari ini.
Menurut Mukhlis, cabaran terbesar dalam menjayakan agenda penyatuan bukan hanya melibatkan anggota di peringkat akar umbi, sebaliknya turut bergantung kepada kesediaan kepimpinan untuk merealisasikan kerjasama berkenaan.
Katanya, terdapat keadaan apabila anggota di peringkat akar umbi sudah bersedia untuk bersatu, namun terdapat pertimbangan atau kepentingan tertentu dalam kalangan kepimpinan yang boleh menjadi penghalang kepada usaha tersebut.
“Cabaran terbesar untuk kita memimpin penyatuan ini ialah kadang-kadang anak-anak ini nak bersatu, tapi ayah-ayah ini kadang-kadang ada keperluan-keperluan, ada sebab-sebab yang menyebabkan penyatuan ini tidak dapat dilakukan dengan baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mukhlis turut membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan kesan penyatuan politik terhadap dominasi Pas di Terengganu, termasuk kemungkinan parti itu memberi ruang kepada UMNO untuk bertanding di kerusi tertentu.
Beliau berkata, persoalan itu timbul memandangkan UMNO ketika ini tidak memenangi sebarang kerusi di Terengganu.
Bagaimanapun, Mukhlis memberi jaminan Pemuda Pas Terengganu akan terus menghormati dan menyokong apa sahaja keputusan Pas Malaysia berhubung calon serta bentuk penyatuan politik yang bakal diputuskan.
“Di luar tadi, ada perwakilan tanya, dia kata kalau sekiranya berlaku penyatuan ini, negeri Terengganu (PAS-PN) menang 40-0, nak beri UMNO pertandingan di Terengganu?
“…maka Insyaallah, anak muda bermula daripada Besut sehingga ke Kemaman, patah sayap bertongkat paruh, nak merealisasikan penyatuan ini kami akan mempertahankan dan kami akan memberi kemenangan kepada siapa sahaja calon yang dipilih oleh Pas Malaysia,” katanya.
Agenda penyatuan politik kembali menjadi perhatian selepas Pas dan UMNO dilihat membuka ruang kepada kerjasama lebih erat, khususnya selepas kedua-dua parti menjalinkan persefahaman dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Johor melalui gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette
















