KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya disiasat berkenaan isu kelewatan pembekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, siasatan perlu dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi memperjelaskan setiap persoalan berkaitan proses pembekalan baja berkenaan.
“Saya menyambut baik arahan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti isu kelewatan pembekalan Baja 3 di kawasan MADA.
“Bagi saya, perkara ini perlu disiasat secara telus dan menyeluruh. KPKM akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM bagi memastikan setiap persoalan berkaitan proses pembekalan ini dapat diperjelaskan,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Terdahulu, Mohamad Sabu menyambut baik arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya SPRM menyiasat isu kelewatan pembekalan Baja 3 di kawasan MADA.
Anwar berkata, siasatan itu bagi mengenal pasti punca sebenar kelewatan berulang yang menjejaskan golongan petani dan pesawah termasuk meneliti status syarikat yang diberi tanggungjawab menguruskan proses pembekalan itu.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, rekod KPKM menunjukkan syarikat pembekal gagal memenuhi komitmen penghantaran yang ditetapkan sehingga menyebabkan kelewatan bekalan kepada pesawah.
“Kegagalan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pesawah, malah turut memberikan imej negatif kepada KPKM dan kerajaan Madani.
“Atas sebab itu, KPKM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kegagalan syarikat berkenaan selaras dengan peraturan serta terma kontrak,” katanya.
Sebagai rekod, baru-baru ini media melaporkan kelewatan pembekalan baja kepada pesawah berisiko menjejaskan pengeluaran padi tempatan serta menurunkan Kadar Sara Diri (SSR) beras negara.
Dianggarkan kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan MADA masih belum menerima bekalan baja tambahan ketiga, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap hasil tuaian musim semasa. -MalaysiaGazette
















