MELAKA – Ketika Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) menghampiri penghujungnya, penduduk Melaka khususnya di Masjid Tanah berharap program mendekati rakyat itu dapat diteruskan.
Mereka berpandangan WRUR tidak seharusnya berakhir pada siri ke-28 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang dijadualkan pada 14 September ini kerana program berkenaan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
Seorang kakitangan awam, Suriati Abdul Rahman, 44, berkata, pengisian WRUR memberi impak besar terutama dalam membantu menyelesaikan masalah penduduk.

Menurutnya, program berkenaan turut mewujudkan interaksi secara langsung antara pemimpin dan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
“Pelbagai aktiviti berfaedah dijalankan dalam program ini yang sekali gus dapat mengeratkan perpaduan antara kaum.
“Dalam program ini juga, rakyat mendapat manfaat terutama barangan keperluan harian yang dijual pada harga amat berpatutan,” katanya.
Suriati ditemui selepas majlis perasmian Program WRUR peringkat DUN Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia, Masjid Tanah, di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Seorang suri rumah, Nur Hanis Athirah Hakim, 31, turut berharap WRUR dapat diteruskan pada masa akan datang kerana menyifatkan program itu sebagai platform penting untuk rakyat menyuarakan masalah mereka.
Menurutnya, adalah satu kerugian kepada rakyat sekiranya program yang memberi pelbagai manfaat itu dihentikan.
“Selain bantuan keperluan asas, program ini menjadi platform kepada rakyat untuk membuat aduan dan mengemukakan permasalahan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Pandangan sama dikongsi perunding hartanah, Muhammad Zafiq Zainuddin, 33, yang melihat WRUR mampu membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah, antaranya menerusi Jualan MADANI.
“Saya lihat banyak barangan keperluan asas seperti ayam dan telur dijual jauh lebih murah berbanding harga di pasaran.
“Bagi orang muda pula, WRUR dapat menjadi medan untuk beriadah dan menunjukkan bakat masing-masing menerusi pertandingan sukan yang dianjurkan,” katanya.
Mereka mengulas kenyataan Ab Rauf ketika berucap pada majlis perasmian hari ini bahawa WRUR peringkat DUN Ayer Limau merupakan siri kedua terakhir sebelum program itu melabuhkan tirainya pada siri ke-28 di DUN Tanjung Bidara pada 14 September ini. – MalaysiaGazette
















