Toh Puan Naimah Khalid. Foto WAN NABIL NASIR, 10 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, berkata suaminya bersedia untuk didakwa di hospital jika perlu.

Wanita berusia 66 tahun itu berkata, Daim sedia berdepan dengan sebarang pertuduhan di mana-mana sahaja dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membela diri mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata suaminya telah dimasukkan ke wad serta sedang menjalani rawatan dan tertakluk kepada kebenaran hospital serta pasukan perubatan, Daim bersedia berdepan pendakwaan di hospital.

“Kami menyerahkan perkara ini kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki untuk membuat keputusan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Nai’mah mengulas laporan media yang memetik Azam sebagai berkata, Jabatan Peguam Negara sudah memberikan lampu hijau ‘lebih seminggu lepas’ untuk meneruskan pendakwaan terhadap Daim di bawah Akta SPRM.

Bagaimanapun, perkara itu tidak dapat dilakukan kerana beliau telah dimasukkan ke hospital.

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa pertemuan Daim dengan SPRM untuk merakam keterangan beliau berhubung sumber kekayaannya terpaksa ditangguhkan selepas ahli perniagaan berusia 85 tahun itu telah dimasukkan ke hospital. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast