KUNJUNGAN rasmi Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr. Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb ke Malaysia berakhir pada Jumaat. Kedatangan beliau merupakan satu lawatan yang penting, bersejarah dan memberi makna yang besar kepada hubungan dua hala yang sudah sedia lama terjalin antara Malaysia dan Mesir.
Bertaraf perdana menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, lawatan beliau ke bermula Selasa lalu atas undangan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pastinya membuka ruang kepada kerjasama baharu untuk dimanfaatkan oleh Malaysia melalui pengaruh dan kekuatan akademia yang dimiliki oleh Al-Azhar.
Dalam konteks lain, kunjungan Sheikh Al-Azhar ini juga mencerminkan kepada penerimaan dan pengiktirafan kedua-dua buah negara dalam setiap usaha dan tindakan dalam membangunkan umat Islam yang progresif dan dinamik selama ini. Tambahan pula Perdana Menteri kini komited dalam menjayakan agenda Malaysia MADANI yang menjadi tunjang utama kepada pentadbiran beliau dalam memacu rakyat dan negara ke arah yang lebih cemerlang.
Sebagai individu penting kepada sebuah institusi ilmu pendidikan Islam yang tersohor di seluruh dunia, kunjungan khas beliau kali turut dihargai dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam Majlis Konvokesyen Khas pada Khamis lalu.
Sebagai pentadbir di universiti, sebagai pemahaman mudah apakah makna dan nilai disebalik ijazah kehormat yang biasa kita dengan universiti anugerahkan kepada seseorang tokoh. Ringkasnya ijazah kehormat adalah merupakan satu bentuk penghargaan yang diberikan oleh universiti terhadap seseorang individu atas sumbangan besarnya kepada bidang tertentu ataupun masyarakat umum.
Apabila USIM berbesar hati memberikan anugerah ini Profesor Dr. Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb, ia merupakan sanjungan tertinggi dan pengiktirafan yang selayaknya diberikan atas sumbangan beliau terhadap perkembangan dakwah Islam serta peranannya menyebarkan ilmu Islam kepada masyarakat dunia.
Semaklum penulis, semasa menjadi Rektor Universiti Al-Azhar, beliau telah meminjamkan enam orang ahli akademik mereka untuk berkhidmat di USIM dengan tiga darinya bertaraf profesor ditempatkan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah. Keberadaan mereka memberi sumbangan besar dalam memperkukuh kurikulum serta pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang kepakaran Quran dan Sunnah.Peranan yang telah diambil oleh beliau sewaktu itu dalam menjalin kerjasama akademik antara Universiti Al-Azhar dan USIM jelas memperlihatkan komitmen beliau terhadap kecemerlangan pendidikan dan pembangunan pengetahuan Islam di peringkat institusi pendidikan tinggi di Malaysia.
Usaha dan dedikasi Profesor Dr. Ahmad dalam bidang ilmiah amat besar dan atas sebab itu beliau telah menerima Ijazah Kedoktoran Kehormat daripada beberapa universiti ternama sebelum ini. Sebagai seorang ulama yang gigih memperjuangkan keamanan sejagat, Kerajaan Malaysia sendiri turut mengiktiraf beliau dengan menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2020/1442M yang lalu.
Tanggungjawab digalasnya amat besar, sebagai seorang tokoh ilmuan yang amat disegani bersama kesarjanaan akademia yang dimiliki, beliau telah berjaya memberikan sumbangan yang besar dalam dunia akademik di Universiti Al-Azhar dan dunia Islam amnya. Apabila dilantik sebagai Syeikhul Azhar yang ke-50 pada 19 Mac 2020, beliau dilihat memanfaatkan dengan sebaiknya posisi tertinggi ini untuk mempromosikan Dasar al-Wasatiyyah ke seluruh dunia. Semoga dunia dan institusi Islam dapat memanfaatkan dengan sebaiknya nilai hebat yang ada pada sosok diri ini selagi hayat dikandung badan.

Penulis merupakan Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Setiausaha Badan Kebajikan Kakitngan USIM. Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak atau institusi.















