Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Kekalahan calon kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap merupakan referendum rakyat menolak pemimpin yang ‘cakap tidak serupa bikin’.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, pengundi menolak Dr. Joohari Ariffin yang mewakili PH kerana merasakan rakyat dikhianati apabila harga diesel dinaikkan.

Kekalahan Johari juga disebabkan beberapa isu termasuk pejualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock Inc.

“Janji harga minyak turun tapi bila sudah berkuasa, diesel dinaikkan harga sehingga RM3.35 seliter.

“Kemenangan Perikatan Nasional ini juga adalah referendum rakyat tolak pemimpin yang penuh dengan drama, di satu sisi perlihat beliaulah pejuang Palestin terhebat, tetapi di sisi lain mengabaikan teguran rakyat untuk menghentikan urusniaga bersama BlackRock dalam pembelian saham MAHB.

“Refendum ini juga menjadi bukti bahawa rakyat tolak pemimpin yang cakap tak serupa bikin, kononnya dialah pejuang anti rasuah tetapi bila melibatkan kes rakan-rakan sendiri dipejamkan mata dan dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Ahli Parlimen Larut itu dalam kenyataan mendakwa, kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) kerana mendapat sokongan padu kaum Melayu.

Katanya, kemenangan Abidin Ismail yang mewakili PN kerana parti itu telah menjadi wadah utama politik rakyat berbilang kaum yang mahukan keadilan kepada semua serta menolak kezaliman.

“Pada masa yang sama, lonjakan majoriti sebanyak 4,267 undi yang diterima saudara Abidin Ismail adalah referendum jelas bahawa rakyat menolak Kerajaan Madani pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan ini juga merupakan bukti rakyat menolak pemimpin sombong dan angkuh, yang sengaja pekakkan telinga dan butakan hati dengan penderitaan rakyat yang terbeban akibat kenaikan kos sara hidup,” kata Hamzah dalam kenyataan.

Dalam PRK yang berlangsung semalam, Abidin memperoleh 14,554 undi menewaskan Joohari yang mendapat 10,285 undi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast