BATU PAHAT – Kad Laporan Pencapaian Kerajaan Johor 2013-2018 yang dibentangkan hari ini membuktikan kemampuan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengotakan janji yang dibuat kepada rakyat negeri ini.
Kad laporan bertemakan Dekad Baharu Johor itu memaparkan prestasi cemerlang kerajaan pimpinan BN di negeri ini sepanjang sepanjang hampir lima tahun.
Sehubungan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap rakyat boleh mendapatkan maklumat dengan lebih tepat mengenai kemajuan semasa negeri Johor menerusi kad laporan itu.
“Kita berharap rakyat akan mendapat maklumat yang tepat mengenai kemampuan kerajaan negeri mengotakan janji sama ada berdasarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 peringkat negeri dan semua inisiatif yang diumumkan sejak Mei 2013.
“Semua kejayaan ini adalah hasil daripada permuafakatan dan usaha gigih semua pihak di Johor tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Antara pencapaian utama yang diketengahkan dalam laporan tersebut adalah kedudukan ekonomi Johor yang bertambah kukuh berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melepasi paras RM100 billion pada tahun 2016.
Selain itu, Johor terus menjadi pilihan utama pelabur dengan menerima pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan yang tertinggi di Malaysia sejak 2013 dengan jumlah RM114.9 billion.
Ini dibuktikan apabila sebanyak 732,325 pekerjaan telah diwujudkan di Iskandar Malaysia, sementara 45,764 pekerjaan baharu muncul di bawah pembangunan Pusat Petroleum Bersepadu Pengerang.
Selari dengan keperluan Suara Hati Johor, lebih 18,000 unit rumah mampu milik telah berjaya disiapkan sejak 2013 dan penyumbang utamanya adalah Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) iaitu sebanyak 16,010 unit.
Dari sudut kesejahteraan penduduk luar bandar pula, sepanjang 1,546.36 kilometer rangkaian jalan kampung telah dinaik taraf, samada dibina baharu atau dilebarkan iaitu 155 peratus pencapaian berbanding akujanji 1,000 kilometer.
Selain itu, Johor kini lebih selamat dengan indeks jenayah mencatatkan penurunan sebanyak 46 peratus berbanding jumlah kes yang dicatatkan pada tahun 2011.
Orang ramai boleh mendapatkan laporan ini dengan melayari www.dekadbaharujohor.my. – MalaysiaGazette.
















