KLUANG – Semua sekolah di Johor Bahru yang terletak berhampiran kawasan pencemaran kimia perlu menghadkan aktiviti luar termasuk menutup sekolah jika keadaan bertambah buruk.
Menteri Pendidikan, Fadhliana Sidek berkata, langkah tersebut akan dilakukan selepas mendapat pandangan serta nasihat daripada agensi terlibat terutama Kementerian Kesihatan (KKM).
Setakat ini kata beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) memantau perkembangan perkara tersebut dan langkah sewajarnya akan diambil, bergantung kepada keadaan semasa.
“KPM akan sentiasa memastikan kesejahteraan pelajar dan guru berada di tahap optimum. Oleh itu, garis panduan berdepan pencemaran mesti dipatuhi.
“Dari masa ke semasa kita akan dapatkan nasihat dari agensi berkaitan seperti KKM bagi memastikan pencemaran bau yang berlaku terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari TVET peringkat kebangsaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsana (SMK) Seri Perdana di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin.
Selasa lalu, beberapa kawasan di bandar raya Johor Bahru dilanda pencemaran bau kimia yang menyebabkan penduduk khususnya di Kampung Melayu Pandan merasa loya dan pening.
Pencemaran tersebut turut dilaporkan berlaku di tiga taman perumahan di Johor Bahru iaitu Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa.
Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang dilaporkan Rabu lalu mengarahkan semua sekolah di bandar raya itu menangguhkan aktiviti luar sebagai langkah berjaga-jaga susulan bacaan gas ammonia tinggi di sekitar Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan.
Aznan berkata, notis yang dikeluarkan itu sebagai langkah berjaga-jaga yang diambil untuk meningkatkan kewaspadaan.
Pencemaran terbaharu dikesan lagi Jumaat lalu di Kawasan Industri Desa Tropika, Johor Jaya manakala hari ini pula pencemaran dikesan di Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi dan di Sungai Skudai, Skudai, Johor Bahru.
Dalam perkembangan lain, Fadhliana berkata, 10,000 sekolah di seluruh negara akan menyambut Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara serentak bermula 2 Jun tahun depan.
Menurutnya, ini selari dengan hasrat menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya, bulan Jun dijadikan sebagai bulan TVET di sekolah.
“Hari ni kita luncurkan sambutan Hari TVET sekolah. Tahun depan seluruh sekolah di Malaysia tidak terkecuali yang ada TVET atau tiada TVET, semua sekolah akan meraikan hari TVET pada 2 Jun.
“Ia selaras dengan penegasan Majlis TVET negara dan hala tuju negara melalui pendidikan TVET sekali gus menjadikannya pilihan utama dalam perjalanan pendidikan,” katanya.
Sebanyak 16 buah SMK, enam Kolej Vokasional dan enam institusi pendudukan menyertai sambutan Hari TVET Sekolah membabitkan pameran seperti ternakan puyuh, robot dan refleksologi.
Dalam pada itu, Fadliana berharap Sambutan Hari TVET Sekolah akan meningkatkan lagi penyertaan pelajar dalam pelbagai sektor industri di negara ini.
“Sambutan ini diadakan bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran tetapi juga untuk menyediakan laluan kerjaya yang jelas bagi pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.
“Di mana, ia semakin releven dengan keperluan industri masa kini dan masa depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















