CYBERJAYA – Amerika Syarikat (AS) merakamkan penghargaan tertinggi kepada Malaysia atas kerjasama pelaburan yang dibuat oleh pembuat pesawat, Boeing di negara ini.
Penghargaan itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disampaikan oleh Setiausaha Perdagangan AS berhubung pelaburan Boeing di Kedah, baru-baru ini.
“Kebetulan pagi tadi saya dapat surat daripada Setiausaha Perdagangan AS yang menyatakan penghargaan tinggi kepada kita kerana kerjasama membolehkan mereka melabur dalam syarikat Boeing di Kedah.
“Ini kerana mereka yakin dengan keupayaan kita walaupun kadang-kadang ada yang bimbang dari segi dasar luar.
“Saya tekankan bahawa dasar luar negara yang bebas dan merdeka seperti Malaysia ini adalah amat bebas. Ada yang katakan ‘centrality’ yang menjadi tonggak kepada dasar luar kita dan mengambil sikap yang lebih pragmatik,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, pagi ini.
Minggu lalu, Boeing menamakan semula kemudahan pembuatan yang terletak di Bukit Kayu Hitam, Kedah sebagai Boeing Composites Malaysia.
Presiden Boeing Asia Tenggara, Penny Burt berkata, kemudahan canggih dan kumpulan tenaga kerja di Kedah berperanan penting dalam industri aeroangkasa Malaysia yang semakin berkembang maju.
Boeing menggaji kira-kira 1,000 orang yang semuanya merupakan rakyat Malaysia untuk bekerja di kemudahan itu. – MalaysiaGazette
















