KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan yang melibatkan kehilangan nyawa, harta benda dan kemusnahan berterusan yang berlaku di Palestin.
Ketua Penerangan DHPP, Dr. G. K. Balachandran berkata, pihaknya berdiri bersama rakyat Palestin yang sekian lama menjadi mangsa kezaliman dan ketidakadilan oleh regim Zionis.
Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti antarabangsa untuk bertindak lebih tegas dalam menghentikan penindasan dan mencari penyelesaian yang adil serta berkekałan bagi mengembalikan keamanan di rantau itu.
“Sebagai sebuah sayap yang berdedikasi kepada perjuangan Pas untuk keadilan dan keamanan sejagat, DHPP menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menolak segala bentuk penindasan, sama ada yang berlaku di Palestin atau di mana-mana bahagian dunia.
“Kami percaya setiap individu mempunyai hak untuk hidup dalam keadaan yang aman, bebas daripada sebarang bentuk penindasan dan kekejaman,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah Balachandran, sebagai solidariti terhadap perjuangan Palestin juga, ahli-ahli DHPP akan menyertai Himpunan Setahun Taufan Al-Aqsa yang akan diadakan Sabtu ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak yang cintakan keamanan dan keadilan untuk turut serta dalam himpunan itu bagi menyampaikan mesej rakyat Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk penindasan.
Tegas beliau, DHPP berpendirian keamanan hanya boleh dicapai melalui dialog yang membina, penghormatan kepada hak asasi manusia dan penyelesaian konflik secara aman.
“Oleh itu, kami berharap semua pihak dapat bekerjasama dalam mencari jalan penyelesaian yang seimbang dan berasaskan keadilan sejagat.
“Kami juga menzahirkan komitmen untuk terus memperjuangkan keadilan dan menentang penindasan di peringkat antarabangsa, selaras dengan nilai-nilai yang didukung oleh Pas dan masyarakat yang berpegang kepada prinsip-prinsip kemanusiaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















