Gambar hiasan.

KOTA TINGGI – Kegembiraan tiga sahabat pergi memancing berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas di Sungai Johor, Teluk Sengat di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, anggota di Balai Polis Teluk Sengat menerima aduan berkenaan maklumat itu pada pukul 4.30 petang.

“Ketika kejadian tiga rakan yang berusia 15, 21, dan 23 tahun pergi memancing menaiki bot di Sungai Johor.

“Ketiga-tiga mangsa menghentikan aktiviti memancing dan berteduh di struktur tiang pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran disebabkan hujan lebat dan angin kencang.

“Pada pukul 2.30 petang, tali bot fiber yang diikat pada struktur tiang pencawang TNB terputus dan hanyut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, ketiga-tiga mangsa kemudian terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan bot.

Ekoran itu ujarnya, dua mangsa dapat menyelamatkan diri manakala remaja berkenaan tidak timbul di permukaan air.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Teluk Sengat digerakkan ke lokasi dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka pu.kul 830 malam tadi.

Yusof berkata, operasi mencari dan menyelamat menyelamat dihentikan sementara pukul 11 malam tadi atas sebab-sebab keselamatan dan disambung semula 7.30 pagi tadi.

Beliau memberitahu, seramai 43 pegawai dan anggota polis, bomba termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) selain Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terlibat dalam operasi itu.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa yang hilang masih giat dijalankan sehingga kini, katanya.

“Polis menasihati orang ramai yang mengunjungi kawasan pantai atau sungai bagi tujuan rekreasi  supaya mengambil langkah keselamatan dan menitikberatkan penggunaan jaket keselamatan terutama semasa Monsun Timur Laut,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast