KUALA LUMPUR – Individu yang membuat mesej palsu kononnya Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan hadir memberi bantuan di beberapa lokasi di Johor boleh didakwa di bawah tiga akta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurutnya, kes berkenaan juga merupakan yang pertama disiasat di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 selepas dikuatkuasakan baru-baru ini.

Selain itu, individu terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan akta di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

“Polis perlu melakukan siasatan lanjut dan sekiranya polis mahu menjadikan kes maka ia perlu dibawa ke mahkamah sesyen.

“Kalau polis siasat, mungkin tiga undang-undang tersebut boleh digunakan untuk pesalah tersebut, namun ia tertakluk kepada keputusan pihak pendakwa raya.

“Apa yang penting punca dari mana berita palsu itu sampai perlu disiasat dan siapa yang gubal, terbitkan, menghebohkan isu tersebut boleh dikenakan tindakan. Dalam masa sama polis turut mengambil kira niat dan motif sebenarnya,”katanya.

Kelmarin dilaporkan lebih 1,000 orang menyerbu ke pasar raya Econsave di Pontian dengan harapan TMJ akan menanggung sepenuhnya perbelanjaan mereka seperti yang berlaku di Aeon Tebrau City.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh mengesahkan berita itu palsu yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa di pasar raya tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast