Keadaan banjir di Rantau Panjang. foto media sosial

KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat (PKOB) bagi menyelaras dan memantau operasi menyelamat dan pengurusan mangsa banjir di lapangan.

PKOB Pusat diaktifkan untuk menyelaras semua PKOB negeri yang sedang mengurus bencana banjir termasuklah aset-aset dan keperluan logistik, mengatur gerak pasukan penyelamat serta lain-lain keperluan yang merentas negeri masing-masing.

Memandangkan jumlah mangsa telah meningkat secara mendadak di Kelantan, pihak PKOB negeri telah memohon khemah tambahan collapsible tent (C-Tent).

Aset-aset dari PKOB Pusat untuk ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula telah memohon tambahan makanan retort sebanyak 50,000 unit untuk diagihkan di PPS, katanya.

Manakala Pasukan Khas Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) juga telah digerakkan ke kawasan yang terlibat bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di negeri-negeri yang terjejas terutamanya Kelantan.

Ketika ini, Kelantan dan Terengganu sedang berhadapan dengan situasi banjir yang buruk dan menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hujan sangat lebat berterusan (bahaya) sehingga 30 November 2024 berkemungkinan boleh menyebabkan banjir yang lebih besar.

Justeru, semua aset telah digerakkan untuk menghadapi bencana yang lebih serius sekiranya berlaku.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Nadma pada jam 6 pagi tadi, jumlah mangsa yang ditempatkan akibat banjir di seluruh negeri adalah seramai 80,589 orang dari 24,647 keluarga.

Angka ini meningkat berbanding 71,877 mangsa pada jam 12 tengah malam.

Terdapat 27 daerah yang terkesan dan sebanyak 467 buah PPS diaktifkan di tujuh buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

Manakala empat kematian telah direkodkan di Kelantan, Terengganu dan Sarawak.

Nadma menambah, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) yang beroperasi 24 jam setiap hari akan sentiasa memantau dan menyediakan laporan terkini situasi banjir di seluruh negara sebagai rujukan semua.

Amaran bencana seperti amaran hujan berterusan dan amaran banjir akan disampaikan kepada semua agensi tindak balas berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Ini termasuklah kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertindak sebagai secretariat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Darerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir di negeri-negeri yang terkesan dikoordinasi oleh JPBN seperti pengaktifan pusat pemindahan sementara
(PPS), penyediaan dan keperluan bilik gerakan dan stor simpanan bekalan makanan.

JPBN juga bekerjasama dengan JKM untuk memastikan keperluan mangsa di pusat penempatan diperolehi sewajarnya.

Buat masa ini keadaan di semua lokasi banjir adalah terkawal dan koordinasi di antara agensi yang diselaraskan oleh Pegawai Daerah dan Setiausaha Kerajaan Negeri berjalan dengan amat baik.

Nadma turut menasihati orang ramai agar berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan pengumuman melalui media massa dan mengikut arahan untk berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast