KULAI – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor menyelamatkan remaja yang dipercayai menjadi mangsa rogol penjaga sebuah pusat jagaan anak yatim swasta di Taman Mas, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, remaja malang berkenaan berusia 17 tahun.
Susulan itu kata beliau, pihaknya memberi jaminan semua penghuni di pusat jagaan itu kini berada dalam keadaan selamat.
Tegas Khairin-Nisa, pihaknya sedang membuat pemantauan terhadap pusat jagaan berkenaan.
“Insiden yang berlaku itu amat mendukacitakan dan pihak kami memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara terperinci.
“Untuk makluman, PDRM masih lagi menjalankan siasatan yang teliti berkenaan isu ini.
“Pengerusi pusat jagaan ini (tertuduh) kini dalam tahanan pihak polis daerah Kulai untuk siasatan lanjut,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memastikan semua pusat jagaan khususnya pusat jagaan kanak-kanak dalam negeri ini berada bawah pemantauan JKM Johor dengan kerjasama PDRM.
Pada 6 Disember lalu, suspek yang juga penjaga rumah anak yatim itu ditahan bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee dilaporkan berkata, lelaki itu ditahan susulan laporan diterima pihaknya pada 29 November lalu.
Jelas Seng Lee, mangsa disyaki dirogol antara 2020 hingga 2022 ketika mangsa berusia 13 hingga 15 tahun.
Selain itu, tular dalam media sosial rakaman video berdurasi 56 saat dipercayai juga berlaku di pusat jagaan sama, memaparkan seorang lelaki bertindak memukul kanak-kanak perempuan menggunakan rotan.
Lelaki dewasa itu memukul kanak-kanak perempuan tersebut di hadapan beberapa lagi kanak-kanak lain secara berterusan walaupun mangsa telah memohon maaf.
Seng Lee berkata, pihkanya hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung insiden memukul kanak-kanak perempuan itu pukul 10.29 malam tadi.
Tambahnya, suspek yang sebelum ini ditahan pada 30 November lalu bersabit kes rogol, masih lagi dalam tahanan reman sehingga esok.- MalaysiaGazette
















