PORT DICKSON – Misi Mencari dan Menyelamat(SAR) Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi yang dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum, Perak masih diteruskan.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, operasi akan dihentikan sekiranya tiada petunjuk baharu sehingga satu tempoh yang diputuskan kelak.
“Sekiranya kita ada rasa tidak ada petunjuk kita akan hentikan SAR. Kita akan teruskan sehingga komando putuskan untuk dihentikan sehinggalah ada petunjuk baharu,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Penganugerahan Pingat PNBB dan Pembubaran MALBATT 850-11 yang berlangsung di Padang Kawad PUSASDA, di sini, hari ini.
Dilaporkan sehingga Isnin lalu tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan dalam operasi SAR anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum pada 30 November lepas.
Tambah Mohammad, sehingga kini SAR dilakukan sepenuhnya oleh pasukan ATM.
Menurut beliau, lazimnya SAR dilaksanakan dalam tempoh 14 hari namun tempoh mencari Ahmad Zulhimi dilanjutkan berdasarkan tempoh mencari anggota tentera daripada Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang hilang ketika bertugas dalam Op UKUR di Limbang, Sarawak pada Jun lalu.
Katanya, pada waktu itu misi mencari Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim dilakukan selama 19 hari. – MalaysiaGazette
















