JOHOR BAHRU – Dua anggota polis cedera di tangan selepas terjatuh akibat dirempuh sebuah kereta dipandu wanita warga Singapura dalam Ops Tapis di Jalan Persiaran Alif Harmoni di sini tengah malam semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan meronda di Jalan Tampoi, Taman Seri Bahagia.
“Polis mengesan sebuah kereta jenis Perodua Axia warna kelabu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dan mengekori rapat kenderaan itu sehingga ke kawasan Jalan Persiaran Alif Harmoni di sini.
“Ketika pasukan serbuan cuba menghampiri kenderaan suspek untuk membuat pemeriksaan secara tiba-tiba kereta terbabit dipandu secara merbahaya merempuh dua anggota polis hingga menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh dan cedera di bahagian tangan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kumar berkata, arahan diberikan agar suspek berhenti namun kenderaan terus dipandu laju menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.
Pasukan serbuan, katanya, mengejar kenderaan suspek yang melalui lebuh raya pesisir Pantai Iskandar dan Lebuhraya Linkedua.
“Dalam kejadian kejar terbabit, suspek bertindak nekad dengan merempuh palang tol di kawasan Plaza Tol Senai Utara sebelum memasuki Lebuhraya Utara Selatan (menghala ke utara dalam usaha untuk melarikan diri dari ditangkap),” katanya.
Beliau berkata, kereta peronda polis (MPV) dari IPD Kulai dan IPD Kluang digerakkan untuk bantuan sebelum kereta suspek akhirnya berjaya ditahan di Simpang Renggam, Kluang pukul 1.30 pagi.
Kumar berkata, suspek wanita dipercayai warga Singapura berusia 38 tahun merupakan pemandu kereta serta seorang penumpang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun ditahan.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan dalam kenderaan mendapati beberapa bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah berbahaya.
“Bertindak atas maklumat tangkapan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Johor Bahru Selatan membuat dua serbuan berasingan di kawasan Johor Bahru dan merampas pelbagai jenis bahan disyaki dadah,” ujarnya.
Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-duanya didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Hasil semakan rekod lampau mendapati lelaki warga tempatan didapati mempunyai pelbagai rekod dadah dan jenayah serta satu rekod dikehendaki, katanya.
Dalam operasi berkenaan, polis berjaya membuat rampasan dadah dengan anggaran nilai keseluruhan RM54,831.
“Ini termasuk ganja, syabu, serbuk ekstasi, heroin dan pil nitrazepam,” katanya.
Kata Kumar lagi, tahanan reman kedua-dua suspek dibenarkan selama enam hari bermula semalam sehingga 5 Januari ini.
Kumar memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar atau memiliki dadah jika disabitkan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.
Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memasukkan dadah ke dalam badan dan jika disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM5000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu mencuba membunuh, jika disabitkan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh boleh sampai 10 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh dadah dan jika disabitkan hendaklah dihukum penjara selama tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan didenda RM8,000 dan tidak lebih RM20,000,” katanya.
Kumar berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu tanpa lesen memandu, jika sabit boleh didenda antara RM300 hingga RM2,000 atau dipenjara tiga bulan atau kedua-duanya.
“Malah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen perjalanan diri berada di Malaysia, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000a tau penjara lima tahun atau kedua-duanya dan dikenakan enam sebatan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“Polis akan terusk komited dalam membanteras jenayah demi memastikan negeri Johor selamat untuk didiami dan dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.- MalaysiaGazette
















