Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari mempersoalkan sikap mendiamkan diri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung dua isu fitnah melibatkan pemimpinnya, baru-baru ini.

Mohammed Taufiq berkata,  sikap ini tidak sepatutnya dipamerkan oleh kepimpinan utama parti ketika pemimpin mereka menyebarkan fitnah.

“Persoalannya, di manakah Presiden dan Timbalan Presiden Pas ketika pemimpin mereka menyebarkan fitnah? Di manakah ulama-ulama dalam Pas yang sepatutnya menegur?

“Jika mereka benar-benar berpegang pada ajaran Islam, mengapa mereka diam membisu apabila fitnah menjadi budaya dalam parti mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang dikenakan denda sebanyak RM830,034.75 apabila didapati bersalah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap tiga pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.

Terbaharu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria mencetus kontroversi apabila mendakwa Menteri Belia dan Sukab, Hannah Yeoh sebagai anak kepada Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.

Bagaimanapun,  pada Isnin lalu Razman memohon maaf kepada kedua-dua pihak atas kesilapan yang dilakukannya.

Razman juga mengakui terkhilaf apabila mengaitkan Hannah dengan konglomerat YTL menerusi video berdurasi 19 saat pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, Parit pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq yang juga Ketua AMK Kedah berkata, sikap menormalisasikan budaya fitnah ini tidak seharusnya dibiarkan berkembang.

Jelasnya, rakyat juga tidak seharusnya memberi muka kepada pemimpin Pas yang menjadikan fitnah sebagai alat politik hanya kerana mereka mendakwa perjuangan mereka atas nama Islam.

“Islam tidak menghalalkan fitnah dan pembohongan, walau dengan apa alasan sekalipun. Sudah tiba masanya Pas benar-benar bertaubat. Bukan hanya bercakap soal dosa dan pahala ketika ia menguntungkan mereka, tetapi mengamalkannya dalam kehidupan dan politik mereka sendiri.

“Islam mengajar kita tentang kebenaran dan keadilan—bukan menggunakan agama untuk menghalalkan kejahatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast