MUAR – Seorang warga emas meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas di Jalan Abdul Rahman, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya dimaklumkan berkenaan kejadian tersebut daripada orang awam pada pukul 9.40 malam.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun sedang bergerak menghala ke Taman Aman.
“Keretanya kemudian terlanggar seorang seorang pejalan kaki yang melintas secara tiba-tiba menyebabkan keretanya tidak sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, akibat pelanggaran tersebut, pejalan kaki berusia 82 tahun itu telah tercampak ke cermin hadapan kereta yang tidak sempat mengelak dan terjatuh atas jalan raya.
Mangsa katanya, mengalami kecederaan dalam dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami kecederaan.
Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika melintas jalan dan memandu kenderaan.- MalaysiaGazette
















