JOHOR BAHRU – Hasrat seorang wanita untuk bekerja sambilan berkubur malah kerugian RM53,857 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pekerjaan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang berusia 21 tahun membuat aduan diperdaya scammer tersebut di Balai Polis Pelangi Indah, di sini, semalam.
“Kejadian bermula apabila mangsa menerima satu tawaran kerja sambilan dalam talian menerusi aplikasi Instagram pada 8 Februari lalu.
“Mangsa kemudian dihubungi menerusi WhatsApp dan memperkenalkan kerja sambilan di sebuah laman web dan diminta untuk mengisi butiran peribadi bagi memulakan kerja sambilan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, tugasan yang diberikan kepada mangsa ialah untuk mempromosikan laman web tersebut bagi penjualan barangan dan mangsa perlu membuat pembayaran dahulu.
Beliau berkata, mangsa juga dijanjikan akan mendapat komisyen serta modal bagi setiap tugasan yang berjaya diselesaikan.
Raub memberitahu, mangsa kemudian membuat sembilan transaksi ke lapan akaun bank berbeza antara 8 hingga 16 Februari dengan jumlah RM53,857.
“Setelah pembayaran dibuat, mangsa masih diminta untuk membuat pembayaran tambahan. Malah sepanjang urusan kerja sambilan, mangsa tidak pernah mendapat komisyen seperti dijanjikan. Mangsa menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis,” katanya.
Menurut Raub, hasil semakan dibuat melalui Mule CCID mendapati lapan akaun tersebut mempunyai 20 rekod jenayah.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















