Salah faham mengenai pemberian tembikai madu secara percuma mencetuskan kekecohan di sebuah gerai di Jalan Sultan Azlan Shah, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Salah faham mengenai pemberian tembikai madu secara percuma mencetuskan kekecohan di sebuah gerai di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, apabila orang ramai hadir untuk mendapatkan buah berkenaan.

Kejadian yang tular di media sosial sejak semalam itu berpunca daripada satu hebahan video yang dibuat oleh peniaga, Mohd Musdi Mustafa Kamal, 40, selepas diminta oleh seorang individu yang mahu menginfakkan tembikai madu kepada orang ramai.

Menurut Mohd Musdi, lelaki tersebut menghubunginya sebelum Ramadan pertama dan memaklumkan hasrat untuk mengagihkan tembikai pada jam 4 petang hari berkenaan.

Bagaimanpun, jelasnya, individu tersebut hanya menyumbangkan RM200 untuk tujuan tersebut sekali gus, jauh lebih kecil berbanding jumlah pengunjung yang hadir ke gerainya.

“Orang ramai mula beratur seawal jam jam 2 petang susulan hebahan infak yang dibuat dalam video itu dan saya hanya diberitahu tentang jumlah sebenar infak selepas orang awam sudah berkumpul.

“Bimbang pengunjung kecewa setelah datang dari jauh, termasuk dari Seberang Perai, saya mengambil keputusan untuk mengagihkan tembikai madu secara peribadi meskipun mengalami kerugian hampir RM3,000.

“Saya tak sampai hati biarkan mereka pulang dengan tangan kosong, lebih-lebih lagi ada yang berjalan jauh dalam cuaca panas. Jadi, saya ikhlaskan sahaja dan anggap ini sebagai sedekah,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Musdi berkata, dia menganggap kejadian ini sebagai pengajaran dan akan lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang hebahan berkaitan infak pada masa akan datang.

“Ramai khususnya netizen di media sosial menyifatkan saya sebagai seorang penipu namun hakikatnya jika dari awal saya tahu jumlah sebenar sumbangan, mungkin saya tidak akan buat video hebahan.

“Saya juga tidak menyalahkan sesiapa, cuma ini satu pengalaman yang perlu saya ambil sebagai iktibar,” katanya. – MalaysiaGazett

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast