Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menunjukan barangan rampasan berkaitan operasi yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah ketika sidang media di Ibupejabat SPRM, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 03 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan terhadap kartel yang terlibat dalam pemerdagangan migran diteruskan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau telah mengulangi jaminan itu beberapa kali sebelum ini.

“Kita siasat, saya sudah cakap banyak kali, kita telah pun menyiasat hubungan kartel kemasukan pekerja asing ke negara ini. Jadi itu siasatan masih diteruskan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu Azam menegaskan, wartawan turut tertakluk kepada undang-undang berkaitan rasuah.

Tegasnya, mana-mana wartawan yang memaksa pihak lain untuk membayar sejumlah wang bagi menghalang penerbitan artikel termasuk dalam definasi memberi rasuah.

“Peruntukan ini telah banyak kita pakai berhubung pihak-pihak yang bertindak bukan atas pihak lain. Jadi dalam hal ini bila permintaan wang telah dibuat walaupun oleh seorang wartawan pada syak kita permintaan itu adalah berkaitan suatu perkara iaitu tidak menerbit satu artikel dan dia memaksa pengadu itu untuk membayar wang, maka bagi kami ini diklasifikasikan sebagai satu rasuah.

“Jadi kesalahan rasuah bukan tertakluk kepada penjawat awam ataupun ahli politik tetapi juga kepada tuan-tuan (wartawan) sekiranya mendatangkan satu tekanan kepada pihak lain meminta wang supaya tidak diterbitkan artikel ini juga pada saya satu kesalahan,” katanya.

Sementara itu Azam memberi jaminan kertas siasatan terhadap seorang wartawan yang direman akan diserahkan kepada Timbalan Perndakwa Raya.

Wartawan terbabit ditahan Sabtu lalu dan didakwa pada mulanya meminta RM100,000 daripada ejen terbabit sebagai balasan tidak menyiarkan dua artikel mengenai ejen berkenaan namun jumlah wang akhirnya dikurangkan kepada RM20,000.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast