KUALA LUMPUR – UMNO sebagai sebuah parti yang berprinsip tidak boleh terjebak dalam politik oportunis dan permainan pihak tertentu yang mahu memecah belahkan kesatuan parti.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalulail berkata, ia termasuk dalam isu serangan terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.
“Kenyataan serta serangan yang dibuat oleh Lokman Adam terhadap Ismail Sabri adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak berasas.
“UMNO sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan setiap pemimpin yang telah berbakti kepada rakyat serta parti,” katanya dalam kenyataan.
Lokman dalam satu videonya baru-baru ini dilihat mengaitkan Ismail Sabri dengan dakwaan melakukan kerja subversif dan cuba menumbangkan kerajaan.
Ia ekoran penahanan beberapa bekas pegawai Ismail Sabri dengan isu rampasan wang tunai bernilai jutaan ringgit oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah kondo baru-baru ini.
Lokman juga dikatakan mengaitkan Ismail Sabri semasa menjadi Perdana Menteri tidak membantu Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Syed Rosli, Ismail Sabri ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan dan seterusnya Perdana Menteri ke-9 telah banyak menyumbang kepada kestabilan negara terutamanya dalam menghadapi pandemik Covid-19.
“Kita tidak boleh menafikan usaha beliau dalam memastikan kesejahteraan rakyat termasuk membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Syed Rosli, serangan tidak berasas itu jelas menunjukkan bahawa ada pihak yang mahu menjejaskan kredibiliti UMNO dan kepimpinannya.
“Lebih buruk lagi, ia boleh dijadikan modal oleh musuh politik untuk terus menggambarkan UMNO sebagai parti yang tidak stabil dan dipenuhi konflik dalaman.
Sehubungan itu beliau menyeru kepada semua ahli serta pemimpin UMNO di semua peringkat agar tidak terpengaruh dengan agenda individu seperti Lokman yang tidak konsisten dalam perjuangannya.
“UMNO perlu terus fokus kepada usaha memperkukuhkan parti dan membela kepentingan rakyat bukannya melayan permainan politik yang hanya menguntungkan pihak lawan.
“Sebarang pandangan atau kritikan terhadap kepimpinan perlu dilakukan secara berhemah berlandaskan adab serta disiplin parti.
“Kita harus menolak budaya politik yang mengutamakan kepentingan peribadi berbanding perjuangan sebenar untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya sambil menambah beri ruang kepada SPRM menjalankan siasatan dan Ismail Sabri mempertahankan diri. – MalaysiaGazette
















