KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki melakukan ugutan bunuh terhadap seorang pengawal keselamatan wanita di sebuah apartmen Bandar Puteri Puchong pada 25 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, A. Anbalagan berkata, pihaknya terkesan dengan satu rakaman berdurasi empat minit 29 saat yang tularpada 26 Februari menunjukkan seorang pengawal keselamatan wanita berusia 32 tahun dipukul seorang lelaki di pondok pengawal tempat dia bekerja kira-kira pukul 1.30 petang.
Katanya, lelaki yang dikenali dengan nama S. Megavanan dan dikenali mangsa itu telah meluahkan perasaan cinta namun luahan hatinya ditolak oleh mangsa kerana dia dalam proses perceraian.
“Tiba-tiba individu (suspek) tersebut marah dan bertindak untuk mencederakan pengadu (mangsa) di leher menggunakan pisau lipat, namun sempat ditepis oleh pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anbalagan berkata, suspek telah datang semula menemui mangsa pada pukul 3.30 petang hari yang sama dan telah menumbuk kepala serta mencekik leher mangsa sebelum dileraikan oleh rakan sekerja mangsa.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Siasatan bagi kes itu adalah kerana kesalahan mencederakan menggunakan senjata, ugutan jenayah dan membawa senjata berbahaya di tempat awam.
Kes masih peringkat siasatan dan tindakan termasuk tangkap terhadap suspek sedang dijalankan.
Orang ramai yang melihat rakaman itu dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan polis dalam kes itu. – MalaysiaGazette
















