MAPIM dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) melancarkan program Iftar@Road2Haramain bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada para jemaah haji dan umrah di Tanah Suci.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) melancarkan program khas Iftar@Road2Haramain bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada para jemaah haji dan umrah di Tanah Suci.

Program khas itu juga hasil kerjasama dengan Coffee Star, Aysar Sudee Sdn. Bhd. dan Aysar Arab Saudi.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen MAPIM dalam memastikan kebajikan jemaah umrah dan haji terus dipelihara, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Program ini bukan sekadar penyediaan makanan, tetapi juga satu bentuk santunan kepada para jemaah yang beribadah di Tanah Suci.

“Ia mencerminkan semangat persaudaraan Islam serta kepedulian terhadap mereka yang berada jauh dari tanah air. Kami percaya memberi makan kepada orang yang berpuasa adalah satu amalan yang amat besar pahalanya, sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program itu akan dilaksanakan di beberapa lokasi strategik termasuk di lapangan terbang Malaysia (KLIA & KLIA2); Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (Jeddah), serta di kawasan sekitar Makkah dan Jeddah dengan sasaran penyediaan 10,000 pek makanan setiap hari.

Antara menu yang disediakan adalah nasi belauk seperti gulai kawah, masak hitam, sambal serta Kopi Coffee Star.

Makanan iftar itu disediakan oleh Aysar Sudee Sdn. Bhd., sebuah syarikat gabungan Malaysia iaitu penyedia pes kering Sudee bersama penyedia dapur untuk masakan di Makkah, Aysar Saudi.

Penyediaan makanan itu akan lebih berkualiti dan sistematik kerana fasiliti dapur yang moden yang boleh menghasilkan makanan untuk 25,000 pek pada satu masa dan disokong oleh pes kering Sudee yang telah sangat mudah digunakan.

Dengan cara itu, penyediaan makanan tersebut dapat dihasilkan dalam masa yang singkat dan diberikan kepada jemaah dalam keadaan yang masih panas dan segar.

Sementara itu, Mohd Azmi turut menyeru lebih banyak pihak, termasuk badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu dermawan untuk turut serta dalam menjayakan program tersebut melalui sumbangan dan penyertaan sukarelawan.

“Kami mengalu-alukan sokongan dari pelbagai pihak untuk memastikan kelangsungan program ini.

“Setiap sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan atau tenaga, akan memberi impak besar kepada ribuan jemaah yang berada di Tanah Suci,” katanya.

Tambah beliau, MAPIM yakin dengan kerjasama erat semua rakan strategik dan masyarakat umum, program Iftar@Road2Haramain akan menjadi satu kejayaan besar dan membawa keberkatan kepada semua yang terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast