KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu menyokong penuh keputusan Ketua AMK Malaysia, Adam Adli Abdul Halim untuk bertanding merebut kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan akan datang.
Ketua AMK Terengganu, Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin berkata, keputusan Adam Adli itu mencerminkan semangat kepimpinan yang kukuh dan komitmen beliau dalam memperjuangkan agenda reformasi serta kemajuan parti.
Malah, tambahnya, AMK Terengganu percaya Adam Adli memiliki keupayaan, visi dan kepimpinan yang diperlukan untuk terus memacu parti ke arah kejayaan yang lebih gemilang.
“Sebagai pemimpin yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan dan perubahan, kami yakin bahawa pengalaman dan pandangan Adam Adli akan memberi impak positif dalam memperkukuh kekuatan PKR di peringkat nasional.
“AMK Terengganu turut bersedia untuk memberikan sokongan sepenuhnya bagi memastikan beliau dapat membawa suara anak muda ke peringkat tertinggi dalam parti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Md Asyraf Zulfadhly menyeru seluruh ahli parti dan penyokong memberikan sokongan padu kepada Adam Adli dalam pemilihan MPP akan datang demi memastikan kesinambungan perjuangan parti dan kebaikan rakyat.
Sebelum ini, Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengesahkan hasratnya untuk bertanding kerusi MPP pada pemilihan PKR yang dijadualkan pada Mei ini.
Menurut beliau, hasrat itu adalah sebagai antara cara untuk beliau terus menyumbang jasa dalam parti. – MalaysiaGazette
















