KLANG – Polis menyiasat kemungkinan wujud penglibatan ‘orang dalam’ berhubung kes samun sebanyak RM46,000 di sebuah hab pengumpulan dan pengoperasian syarikat J&T di Meru pada 14 Mac yang lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya mempercayai ada penyaluran maklumat antara kakitangan dan suspek terutama mengenai keberadaan sejumlah wang pada hari kejadian.
Katanya, bagaimanapun setakat ini tiada tangkapan dilakukan pihaknya.
“Kes itu masih dalam siasatan dan kita percayai ada informasi daripada orang dalaman.
“Setakat ini, seramai enam pekerja hab syarikat kurier itu telah diambil keterangan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat Polis Klang Utara, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati nombor pendaftaran kereta jenis Perodua Bezza yang digunakan kumpulan samun tersebut adalah palsu.
Tambahnya, pemilik asal nombor pendaftaran itu telah dipanggil memberikan keterangan berhubungnya.
“Pemilik asal telah menyewakan keretanya kepada seorang ejen. Nombor platnya telah dipalsukan penyamun itu,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan tiga penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang menyamun wang berjumlah RM46,000 di hab J&T pada pukul 12.36 tengah hari 14 Mac lalu.-MalaysiaGazette
















