Keadaaan sebuah pesawat AirAsia selepas berpatah balik dan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini, akibat enjin terbakar.

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan menjalankan siasatan berhubung kejadian pesawat Airbus, A320 milik AirAsia yang membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA2) malam tadi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau yakin syarikat penerbangan tambang murah itu akan mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kejadian tersebut tidak lama lagi.

“Saya rasa AirAsia akan mengeluarkan kenyataan mengenai apa sebenarnya berlaku. Pada ketika ini, saya tidak mahu mendahului apa-apa.

“Biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut prosedur biasa. Sebarang pendaratan kecemasan akan disiasat dengan teliti oleh CAAM, sudah tentu, pihak itu akan menjalankan siasatan yang betul,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media pelancaran sistem pembayaran terbuka untuk Rapid KL On-Demand (DRT) di Depo KL-Rapid di Cheras, di sini, hari ini.

Pesawat AirAsia yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shenzhen, China itu dilaporkan terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan kecemasan di KLIA2 selepas mengalami kebakaran enjin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu sekitar pukul 10.37 malam.

Jelasnya, seramai sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) telah dikejarkan ke lokasi dan tiba pada pukul 10.45 malam.

Tambahnya, pesawat selamat mendarat di runway 3 KLIA2 pada pukul 12:08 tengah malam tadi tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.

Terdahulu, Anthony berkata, pihaknya  meerima laporan awal tentang kejadian tersebut daripada CAAM, semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast