Keadaan kenderaan mangsa setelah terbabit dalam kemalangan di persimpangan tiga lampu isyarat di Batu 10, Jalan Gambang dekat sini malam tadi.

KUANTAN – Seorang wanita maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Ativa dipandunya terbalik ketika melanggar lampu isyarat merah di Batu 10, Jalan Gambang di sini  semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, selain kenderaan SUV, dua  buah kenderaan terbabit dalam kemalangan itu ialah kereta jenis Proton Iswara dan kereta jenis Volkswagen Golf.

Mangsa pekerja sebuah pusat kecantikan disahkan meninggal dunia di lokasi nahas ialah Nor Aspadora Azmi, 24, dan dua penumpang dalam kenderaan yang juga adik sepupunya mengalami kecederaan dalam insiden 10.15 malam tadi.

”Siasatan awal mendapati mangsa dari arah Gambang menghala ke arah Bandar Kuantan manakala pemandu Proton Iswara dari arah Bandar Kuantan menghala ke arah Sungai Lembing dan pemandu Volkswegen dari arah Jaya Gading menghala ke arah Bandar Kuantan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika pemandu kereta jenis Proton Iswara sedang membelok ke kanan dan kereta jenis Volkswagen Golf sedang membuat pusingan U tiba-tiba dipercayai kenderaan Perodua Ativa melanggar lampu isyarat merah lalu melanggar kereta jenis Proton Iswara sebelum terbabas dan melanggar kereta jenis Volkswagen Golf.

“Akibat kejadian kenderaan jenis Perodua Ativa telah terbalik di pembahagi jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast