Pengawal keselamatan tersepit bawah lori kargo yang mengalami masalah brek dan melanggarnya di Jalan Taruka, Kawasan Perindustrian Tampoi Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan wanita menanggung azab lebih 20 minit tersepit bawah lori kargo mengalami masalah brek yang  melanggarnya dalam kejadian di Jalan Taruka, Kawasan Perindustrian Tampoi hari ini.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Abdul Wahab Nasir dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 3.18 petang.

“Kejadian berlaku semasa sebuah lori kargo datang untuk masuk ke sebuah kilang dalam kawasan perindustrian tersebut. Pengawal keselamatan berkenaan yang bekerja di kilang tersebut cuba membuka pintu pagar beroda tetapi tidak berhasil kerana terlalu ketat untuk menyorongnya.

“Dia kemudian meminta bantuan seorang lelaki untuk menolak pintu pagar berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, ketika menunggu lelaki berkenaan menarik pagar berkenaan, lori kargo tersebut yang dipercayai mempunyai masalah brek atau brek tangan bergerak sendiri.

Beliau berkata, pengawal keselamatan berkenaan tidak sedar lori berkenaan bergerak sehingga melanggarnya sebelum dia terpelosok bawah lori kargo tersebut.

Pihak pengurusan kilang kemudian menghubungi pihak bomba sebelum 13 anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan tiga Unit Motosikal Gerak Cepat (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan air lifting bagi mengeluarkan mangsa,” ujarnya.

Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan kaki kiri sebelum dihantar dengan EMRS ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut.

Tambah beliau operasi selesai pada pukul 3.43 petang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast