KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menolak sekeras-kerasnya cadangan individu supaya nama Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ditukar kepada nama baharu yang lebih moden.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, nama Keretapi Tanah Melayu itu mempunyai nilai nostalgia yang tersendiri dan merupakan lambang prestasi serta kemajuan tanah air sejak dahulu lagi.
Beliau turut mempersoalkan sama ada cadangan seperti itu merupakan langkah licik untuk melenyapkan identiti bangsa Melayu.
“Perkasa ingin bertanya mengapa mahu menukarkan nama Keretapi Tanah Melayu?
“Perkasa tidak menolak sebarang bentuk cara untuk memodenkan gerabak atau perkhidmatan, tetapi kekalkanlah nama sebagai Keretapi Tanah Melayu kerana ia juga lambang negara kita,” katanya dalam kenyataan.
Irwan Fahmi berkata, dahulu negara ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu dan perkhidmatan keretapi mengambil nama bersempena dengan identiti negara waktu itu.
Beliau menjelaskan, nilai-nilai sejarah tidak boleh ditukar sesuka hati dan amat malang sekiranya terdapat unsur-unsur negatif dengan cadangan mengubah nama perkhidmatan keretapi tersebut.
“Perkasa melihat hari ini sudah banyak perkhidmatan keretapi yang dipanggil monorel, LRT, MRT, ECR dan ERL yang tidak mempunyai perkataan Melayu.
“Adakah itu tidak cukup sehinggakan ada pihak yang masih mahu menukarkan nama Keretapi Tanah Melayu?
“Hina dan elergik sangat ke bila ada jenama yang menggunakan nama Melayu? Soalnya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak KTMB kerana menolak cadangan berkenaan dalam usaha mengekal nilai sejarah yang tersendiri.
Beliau turut bertanya, adakah selepas isu bak kut teh yang diperkenalkan oleh negara China kepada Malaysia sebagai makanan warisan sebelum ini dijadikan cubaan seterusnya untuk memadam sejarah tanah Melayu.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat cadangan daripada seorang individu supaya nama KTMB diubah bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa.
Individu berkenaan berpendapat nama Keretapi Tanah Melayu sudah tidak lagi relevan kerana tren masa kini digerakkan menggunakan elektrik dan istilah Tanah Melayu merujuk kepada Malaya, bukan Malaysia.
Bagaimanapun, KTMB dalam kenyataan balas menegaskan a tiada keperluan untuk menukar nama syarikat itu, sambil menekankan bahawa nama sedia ada membawa nilai sejarah dan warisan serta merupakan identiti korporat yang masih relevan dan tidak menjejaskan usaha pemodenan perkhidmatan. – MalaysiaGazette

















sebut lah nama orang nya yang mencadangkan tu.
adakah menjadi kesalahan dengan menyebut namanya?