KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melaksanakan Perintah Penandaan Harga bagi ubat-ubatan bermula hari ini sebagai langkah memperkukuh ketelusan harga selain memastikan rakyat tidak lagi terbeban dengan kos rawatan di fasiliti kesihatan swasta serta farmasi komuniti.
Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Young Syefura Othman atau dikenali sebagai Rara menyifatkan pelaksanaan dasar di bawah Akta Farmasi 1951 (Akta 723) ini sebagai tindakan progresif yang seimbang antara kepentingan industri dan kebajikan pengguna.
“Langkah ini penting untuk meningkatkan ketelusan harga, melindungi hak pengguna serta memastikan akses kepada ubat-ubatan yang lebih adil dan mampu milik untuk semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Young Syefura, paparan harga ubat secara terbuka membolehkan pengguna membuat pilihan yang lebih bijak, mengelak bayaran berlebihan serta menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta.
Mengulas kebimbangan daripada pemain industri, Young Syefura memberi jaminan kerajaan akan memantau pelaksanaan dasar ini secara berfasa dalam tempoh tiga bulan pertama dan menjalankan sesi libat urus berterusan bersama pemegang taruh.
“Kerajaan memahami kerisauan industri, sebab itu pemantauan dan penilaian impak akan dijalankan dengan teliti. Libat urus bersama penggiat industri akan terus diadakan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar tanpa menjejaskan pertumbuhan sektor farmaseutikal,” jelasnya.
Beliau menegaskan langkah itu adalah selari dengan aspirasi kerajaan Madani untuk memastikan dasar kesihatan yang lebih telus, adil dan berpaksikan kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette
















