Asyraf dan Mohd Hairi merakam kenangan dalam Riang Ria Rumah Terbuka Terlajak Raya Aidilfitri Exco Beliau, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor di Arena Larkin, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon bahawa Barisan Nasional (BN) tiada hala tuju bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan tidak mewakili pendirian pemimpin tertinggi MCA.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan tersebut merupakan pandangan peribadi dan bukan kenyataan rasmi MCA namun pihaknya sentiasa terbuka dalam tersebut.

“Itu hanya sebahagian daripada (pandangan peribadi)…itu biasa, walau bagaimanapun kita raikan perbezaan pandangan.

“Kita berpegang kepada prinsip dan orientasi, tidak perlu komen di peringkat luaran. Saya harap (anggap) selagi kepimpinan tertinggi tidak menyuarakan perkara itu, ia tidak menggambarkan pendirian mana-mana parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Riang Ria Rumah Terbuka Terlajak Raya Aidilfitri Exco Beliau, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor di Arena Larkin di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Md Shah dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon sebelum ini meluahkan kekecewaan yang semakin dirasai oleh ramai ahli MCA dan penyokong akar umbi berikutan ketidaktentuan hala tuju politik parti itu dalam BN serta dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.

Susulan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyifatkan kenyataan itu menunjukkan Sin Woon gagal melihat gambaran besar dalam konteks kerjasama BN bersama-sama PH menerusi Kerajaan Perpaduan.

Semalam, Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li membidas kenyataan Noor Azleen dan mendakwa kerjasama BN dengan PH hanya melumpuhkan BN dari dalam dan berharap BN tidak terperangkap dengan permainan PH.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, BN tetap mempunyai hala tuju dan akan terus berpegang kepada prinsip serta nilai-nilai diperjuangkan gabungan politik tersebut.

BN, katanya, mempertahankan sifat-sifat kemakjmukan untuk memastikan Malaysia terus aman dan rakyat sejahtera dengan kerajaan serta negara juga stabil.

“Itulah hala tuju parti-parti (dalam kompenen BN). Kalau itu bukan hala tuju (BN) apa lagi nak dikatakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast