JOHOR BAHRU – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mencabar Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berdebat secara terbuka berkenaan isu Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan bukan hanya berani menyindir dalam media sosial.

Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadli Umar Aminolhuda berkata, perdebatan itu perlu menyentuh mengenai dasar, fakta dan realiti rakyat serta hanya sentimen murahan supaya dapat memberi pencerahan.

“Sepatutnya, pihak yang menolak undangan ini tidak layak sama sekali untuk memberi komen berkaitan URA ini.

“Mereka ini bukan sahaja memperlekehkan usaha kerajaan, malah mereka menafikan hak golongan ini untuk menikmati taraf hidup yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin Afnan Hamimi menyifatkan pelawaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kepada ahli Parlimen pembangkang melawat flat usang di sekitar ibu negara sebagai hanya langkah untuk menguntungkan kerajaan.

Beliau berkata, usaha itu sedikit pun tidak menjawab mengapa rakyat atau penduduk membantah rang undang-undang akta URA yang dicadangkan kerajaan.

Afnan Hamimi mengulas langkah Kor Ming menyelar tindakan ahli Parlimen pembangkang yang tidak menghadiri lawatan kajian khas anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ini.

Program itu dikatakan dirangka bagi meningkatkan kesedaran ahli Parlimen terhadap kepentingan Rang Undang-undang (RUU) Akta URA baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fadli Umar berkata, Pemuda Pas memperlekehkan lawatan rasmi Menteri dan ahli Parlimen ke kawasan-kawasan kediaman usang dengan menyindir kononnya itu seperti lawatan sekolah.

Kenyataan sebegitu katanya, bukan sahaja angkuh malah menghina usaha murni menyelamatkan rakyat marhaen yang tinggal di rumah hampir roboh, lif rosak dan saluran najis pecah.

Beliau mempersoalkan, adakah menyelami penderitaan rakyat yang terperangkap dalam flat usang sebagai satu bahan lawak bagi Pemuda Pas.

“URA yang dibawa kerajaan bukan projek ambil tanah rakyat tapi inisiatif menyeluruh untuk memastikan penduduk di kawasan lama dan berisiko tinggi dapat hidup dalam suasana lebih selesa, moden dan selamat.

“Lawatan menteri dan ahli Parlimen bagi melihat sendiri realiti hidup golongan miskin bandar dihina dan dicemuh sedangkan ‘lawatan’ ke ladang babi digembar-gembur ke pelusuk semesta,” ujarnya.

KPKT katanya, sudah pun memanggil semua ahli Parlimen untuk turun padang lihat sendiri keadaan rumah flat yang daif dan usang.

Jelasnya, KPKT juga sudah lakukan 79 sesi libat urus URA bersama agensi Persekutuan dan negeri.

“Tetapi, Pemuda Pas masih cuba bawa naratif salah kononnya URA ini akan rampas hak milik rakyat. Ini terus terang fitnah jahat yang menanam ketakutan dalam masyarakat.

“Ini politik culture of fear, politik malas dan selesa di kerusi pembangkang tanpa solusi sebenar untuk rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast